KPLB Raikan Acara Keagamaan dan Kebudayaan Bersama Penduduk Kampung Sejahtera dan MESEJ

0
Ewon menyampaikan daging korban kepada salah seorang penduduk kampung, pada majlis itu.
KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah memperkenalkan pendekatan baru meraikan sambutan keagamaan dan kebudayaan bersama penduduk di perkampungan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) dan Kampung Sejahtera di seluruh Sabah.
Ewon ketika ditemui pemberita
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, pendekatan yang baru diperkenalkan tahun ini merupakan satu program komuniti bertujuan melihat prestasi kemajuan serta mendengar aspirasi penduduk di MESEJ dan Kampung Sejahtera.
Katanya, pada masa yang sama ia memberi peluang kepada pihak kementerian untuk mendengar luahan hati dan permohonan penduduk kampung.
“Kita telah memulakan Majlis Berbuka Puasa semasa bulan Ramadan lepas di perkampungan MESEJ Bunang, Keningau dan sempena Hari Raya Aidil Adha hari ini, kita meraikan sambutan ini di Kampung Sejahtera Song Song, Usukan, Kota Belud.
“Kita akan teruskan program seumpama ini di perkampungan MESEJ dan Kampung Sejahtera, iaitu antara dua program utama KPLB Sabah. Untuk acara sambutan Krismas dan Kaamatan yang akan datang, kita memilih kampung lain di bawah program Kampung Sejahtera atau Mesej,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Hari Raya Aidil Adha di Kampung Sejahtera Song-Song Kota Belud, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, sehingga kini, KPLB Sabah mempunyai 53 buah perkampungan MESEJ dan 55 buah Kampung Sejahtera di seluruh Sabah.
Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Kampung Song Song, KPLB Sabah melalui Kelab Rekreasi kementerian itu menyumbangkan dua ekor lembu melalui Pejabat Daerah Kota Belud untuk diagihkan kepada golongan asnaf dan penduduk di kampung tersebut.
Berkenaan masalah bekalan air di Kg Song Song, Ewon berkata, KPLB Sabah akan menjemput Jabatan Mineral dan Geosains untuk melihat sama ada sumber air bawah tanah yang boleh digunakan di kampung itu.
“Kalau ada air bawah tanah KPLB Sabah akan menyediakan peruntukan untuk membiayai pembinaan telaga tiub,” katanya.
Terdahulu itu ketika berucap, Ewon berkata, keperluan pembangunan di Kampung-Kampung Sejahtera adalah antara perkara yang dibincangkan oleh beliau dengan Datuk Seri Rina Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar Persekutuan.
“Perjumpaan saya dengan Datuk Seri Rina yang turut dihadiri pegawai-pegawai kanan kedua-dua kementerian pada bulan lepas membincangkan banyak perkara termasuk keperluan pembangunan di kampung-kampung di bawah Program Kampung Sejahtera.
“KPLB Sabah kini sedang menyediakan dokumentasi terperinci untuk dikemukakan kepada Datuk Seri Rina dan saya amat yakin, sepertimana komitmen dan persetujuan beliau dalam mesyuarat tersebut, bahawa KPLB Persekutuan bersedia menyalurkan peruntukan-peruntukan berkaitan kepada Program Kampung Sejahtera ini,” katanya.
Turut hadir Adun Usukan Datuk Japlin Akim, Timbalan Setiausaha Tetap KPLB Sabah Aftar Nurajat dan Pegawai Daerah Kora Belud Hajah Diyanah Abdullah.-pr/BNN