KENINGAU: Dua pelajar dari Bingkor yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi menerima sumbangan kewangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor merangkap Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik @ Nordin, sebagai dorongan untuk terus cemerlang dalam bidang akademik.
Sumbangan tersebut disampaikan melalui kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN N.40 Bingkor, iaitu En. George Dairie kepada Alex Smith Junior Alexander dari Kampung Nuntunan, serta En. Rahman Bidin kepada ayah Melanie Dee Theodosius, iaitu En. Theodosius Maraat dari Kampung Tuarid Liawan.
Alex Smith Junior telah menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Arau, Perlis, manakala Melanie Dee Theodosius pula berjaya ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.
Robert dalam pesannya merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada kedua-dua pelajar atas pencapaian membanggakan itu, sambil menegaskan bahawa sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen beliau untuk memastikan pelajar-pelajar dari Bingkor mendapat sokongan sewajarnya bagi melanjutkan pelajaran.
“Pendidikan adalah kunci masa depan, justeru saya mahu anak-anak muda Bingkor tidak ketinggalan mengejar cita-cita mereka. Sumbangan ini diharap dapat membantu meringankan beban keluarga dalam menyediakan keperluan awal sepanjang pengajian,” katanya.
Keluarga kedua-dua pelajar turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Robert atas keprihatinan beliau.
Alex Smith Junior menyifatkan bantuan itu amat bermakna serta memberi motivasi untuk berusaha lebih gigih, manakala En. Theodosius Maraat pula menegaskan bahawa sokongan berkenaan bukan sahaja meringankan beban keluarga tetapi turut menjadi dorongan buat anaknya meniti kejayaan.-pr/BNN





