Wanita, Pemuda, Puteri Umno, Muslimat Pas buat laporan polis terhadap Wendy Loong

0
168
Dr. Jainab (tujuh dari kanan) bersama rombongan wanita, pemuda dan Puteri UMNO serta Dewan Muslimat PAS menunjukkan laporan polis mereka di luar Balai Polis Karamunsing.

KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita UMNO Sabah bersama Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Sepanggar serta Dewan Muslimat PAS Kawasan Sepanggar dan Putatan telah membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook (FB), Wendy Loong kerana menghina Nabi Muhammad SAW  dalam FBnya.

Laporan polis itu telah  dibuat oleh Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Dr. Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid mewakili Wanita UMNO Sabah dan  Puan Kasmirah Alipin mewakili Wanita UMNO Sepanggar, Dewan Muslimat PAS  Kawasan Putatan diwakili oleh Puan Nurmyiti Mappiassei  dan  Dewan Muslimat PAS Kawasan Sepanggar diwakili oleh  Puan Aisyah Ismail serta wakil dari Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Sepanggar, di Balai Polis Karamunsing Kota Kinabalu, kelmarin.

Jainab dalam laporan polis itu menyatakan pada 24 Julai 2019, kira-kira jam 10.00 pagi, beliau telah membaca status pemilik akaun FB yang telah “discreenshot” menggunakan nama Wendy Loong, yang telah memuatnaik isi kandungan yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Justeru, beliau mendesak pihak polis segera menahan dan mengambil tindakan ke atas pemilik akaun FB itu serta mana-mana individu yang dengan sengaja melakukan tindakan provokasi menghina agama Islam dan Rasulullah.

“Perbuatan Wendy Loong bukan sahaja menggugat ketenteraman awam dan menjejaskan perpaduan masyarakat berbilang agama serta kaum di negara ini, bahkan telah mengguris perasaan dan
menyemarakkan kemarahan umat Islam di Malaysia.

“Perbuatan ini jelas boleh disabitkan sebagai kesalahan jenayah di bawah Seksyen 298A (1) Kanun Keseksaan dan sepatutnya dikenakan hukuman berat”, katanya salam satu kenyataan, hari ini.

Jainab berkata, penghinaan yang dilakukan terhadap junjungan mulia Nabi Muhammad SAW adalah suatu yang amat serius dan tidak boleh dimaafkan begitu sahaja.

Beliau berkata, tindakan tegas pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara, sepatutnya menjadi isyarat bahawa sebarang penghinaan bukan sahaja kepada Islam bahkan kepada mana-mana agama sekalipun adalah suatu jenayah dan perbuatan yang tidak boleh dikompromi.

Sementara itu, Wanita UMNO Bahagian di Sabah yang turut membuat laporan polis terhadap  Wendy Loong semalam ialah Tawau, Silam dan Semporna. Manakala bahagian lain dijangka menyusul dalam tempoh terdekat.-pr/BNN