KENINGAU: Dua pelajar dari kawasan Liawan yang bakal menjejakkan kaki ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima suntikan semangat bermakna apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, menyalurkan sumbangan ikhlas sebagai tanda sokongan terhadap masa depan pendidikan mereka.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pemaju Mukim Lingkudau, Noritah Melvina Dungkian, yang mewakili Annuar dalam satu majlis ringkas di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, di sini.
Penerima bantuan itu ialah Norsabina Abdullah, yang akan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kewangan Antarabangsa (Ekonomi Kewangan) Dengan Kepujian di UMS Kampus Antarabangsa Labuan, serta Siti Aishya Azlie yang melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kimia Industri Dengan Kepujian di UMS Kampus Kota Kinabalu.
Kehadiran kedua-dua pelajar terbabit di UPPM Liawan bukan sahaja mencerminkan kegembiraan untuk memulakan perjalanan akademik mereka, malah sumbangan yang diterima turut menyuntik semangat baharu dalam meniti cabaran menuntut ilmu di menara gading.
Annuar berkata, usaha membantu anak muda dalam bidang pendidikan sentiasa menjadi keutamaan kepimpinannya kerana pendidikan adalah asas membina masa depan masyarakat yang berdaya saing.
“Melihat anak-anak Liawan melanjutkan pengajian ke universiti adalah satu kebanggaan bersama. Sokongan ini mungkin kecil dari segi nilai, tetapi besar maknanya untuk memberi motivasi kepada mereka meneruskan perjuangan menimba ilmu,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan belia di kawasan Liawan mendapat peluang pendidikan sewajarnya, selain menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan negeri.-pr/BNN





