KENINGAU: Kejohanan BMBR Chess Championship sempena Karnival Sukan BMBR 2025 berlangsung meriah di Dewan Sekolah Kebangsaan Bingkor, hari ini, dengan penyertaan 66 peserta merangkumi kategori dewasa dan kanak-kanak bawah 12 tahun.

Acara yang dianjurkan Sekretariat BMBR dengan kerjasama Keningau Chess Club itu berjaya menarik minat peserta dari pelbagai daerah di seluruh Sabah, sekali gus menjadikannya medan pertemuan bakat-bakat catur berpotensi besar.

Menurut pihak penganjur, penganjuran kejohanan itu bukan sekadar platform mencungkil bakat baharu dalam arena catur, tetapi juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat di samping menyemarakkan semangat kesukanan.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan Ketua Pemuda GRS Keningau merangkap Pengerusi Penganjur Karnival Sukan BMBR, Encik Rafie Robert.

Beliau menegaskan, penganjuran sukan seperti catur membuktikan aktiviti kesukanan bukan sahaja menuntut kekuatan fizikal, malah menekankan kepintaran dan ketajaman minda.

Karnival Sukan BMBR 2025 terus menampilkan pelbagai acara sukan dan rekreasi yang mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat.Inisiatif ini memperkukuh peranan BMBR sebagai penggerak pembangunan sosial, belia dan komuniti di daerah Keningau.-pr/BNN