KENINGAU: Kejohanan Bola Jaring Piala BMBR sempena Karnival Sukan BMBR 2025 berlangsung meriah di Dewan SMK Keningau II dengan penyertaan 10 pasukan dari sekitar daerah Keningau, khususnya kawasan DUN Bingkor.

Kehadiran pasukan-pasukan ini bukan sahaja menyerlahkan bakat pemain tempatan, malah mencerminkan sambutan tinggi masyarakat terhadap sukan bola jaring sebagai wadah memperkukuh perpaduan komuniti.

Persaingan sengit di gelanggang menyaksikan SAGA Keningau dinobatkan sebagai juara kejohanan, manakala Cinnamon 3.0 berpuas hati di tempat kedua. Pasukan PTEM SMK Bingkor dan PLD U14 pula berkongsi tempat ketiga, menutup tirai saingan dengan penuh semangat kesukanan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Pemuda GRS Bahagian Keningau, Encik Rafie Robert yang mewakili Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.40 Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin.

Beliau turut diiringi Ketua Sekretariat BMBR, Encik Garrett Patrick.

Sekretariat BMBR dalam kenyataan merakamkan penghargaan kepada Cinnamon Netball Club selaku penyelaras kejohanan atas komitmen dan kerjasama erat yang memastikan pertandingan berjalan lancar dan jayanya.

Kejohanan ini sekali lagi membuktikan bahawa penganjuran sukan bukan sekadar medan mencungkil bakat baharu, malah berperanan penting sebagai platform mengeratkan silaturahim serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.-pr/BNN