KOTA KINABALU: Gabungan parti-parti politik tempatan merupakan halatuju paling tepat bagi Sabah menghadapi pilihan raya negeri akan datang serta membentuk kerajaan negeri yang stabil dan bertanggungjawab kepada rakyat.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee menegaskan, era penguasaan BN dan UMNO di Sabah sudah berlalu, justeru rakyat negeri ini perlu meneladani model politik Sarawak yang terbukti berjaya mengekalkan pentadbiran melalui gabungan parti tempatan sejak sekian lama.
“Kerajaan Sarawak tidak pernah berkompromi membenarkan parti Malaya menguasai kabinet atau mana-mana bahagian pentadbiran mereka. Sarawak adalah kisah kejayaan yang nyata, dan Sabah boleh mencontohinya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, landskap politik Malaysia sudah berubah, apabila parti-parti besar kini terpaksa bergantung kepada parti kecil untuk membentuk kerajaan.
Katanya, perkembangan itu membuka ruang kepada parti-parti tempatan Sabah untuk memainkan peranan lebih besar.
“SAPP sudah melalui jatuh bangun politik. Berdasarkan pengalaman itu, kami yakin pilihan terbaik untuk rakyat Sabah ialah sebuah gabungan parti-parti tempatan yang bebas dan bertanggungjawab kepada rakyat negeri ini,” ujarnya.
Menurut Yong, realiti kewangan negara menunjukkan kerajaan Persekutuan bergantung kepada hasil minyak dan gas dari Sabah serta Sarawak bagi menampung bajet serta membayar hutang negara.
“Masalahnya, Sabah turut amat memerlukan sumber sama untuk membangunkan infrastruktur, projek tebatan banjir, pendidikan, kesihatan dan ekonomi negeri. Justeru, Sabah memerlukan parti tempatan yang benar-benar bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya.
Mengulas isu pencalonan, beliau berkata rakyat kini menyaksikan bagaimana calon daripada parti berpusat di Semenanjung perlu mendapatkan kelulusan pemimpin mereka di Kuala Lumpur.
“Jika mereka dipilih menjadi wakil rakyat, tidakkah mereka juga akan tunduk kepada arahan tuan politik yang sama? Bagaimana kita boleh harap mereka memperjuangkan hak Sabah?” soalnya.
Sehubungan itu, Yong menegaskan pendirian SAPP bahawa hanya parti-parti politik tempatan layak bertanding dalam pilihan raya negeri.
Katanya, tindakan SAPP keluar daripada Perikatan Nasional pada Disember 2024 dibuat kerana tidak bersetuju dengan niat pakatan itu bertanding di Sabah.
“Biar rakyat Sabah sendiri menentukan kerajaan negeri. Kerajaan Sabah harus menghormati kerajaan Persekutuan yang mentadbir, dan begitu juga sebaliknya. Dengan cara ini, barulah kita dapat menjamin kestabilan politik,” katanya.
Yong yang juga mantan Ketua Menteri Sabah (1996–1998) menambah, selepas lebih enam dekad penubuhan Malaysia sebagai sebuah persekutuan tiga wilayah, sudah tiba masanya Malaysia berfungsi sebagai sebuah negara yang benar-benar menghormati peranan Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara Tanah Melayu.-pr/BNN





