KENINGAU: Prihatin terhadap pembangunan pendidikan anak-anak luar bandar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, menyalurkan sumbangan bagi menjayakan Program Lawatan Sambil Belajar murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Bulu Silou ke Kundasang pada 7 Oktober ini.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pemaju Masyarakat, Hairul Ahmad Syam yang mewakili Annuar dalam satu majlis ringkas, dan diterima oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bulu Silou, Sio Sasmitta Jack.

Sio menzahirkan penghargaan kepada Annuar kerana keprihatinan beliau dalam menyokong usaha pendidikan pelajar luar bandar.

“Sumbangan ini amat bermakna bagi pihak sekolah dan PIBG kerana ia membantu melancarkan aktiviti pembelajaran di luar bilik darjah,” katanya.

Bagi masyarakat setempat, sokongan berterusan daripada Annuar dilihat bukan sahaja sebagai dorongan kepada pembangunan pendidikan, tetapi juga cerminan kepimpinan beliau yang sentiasa dekat di hati rakyat.

Penduduk menilai beliau sebagai pemimpin yang bukan sekadar melihat masalah, tetapi tampil bertindak dalam memastikan keperluan anak-anak di kawasan luar bandar mendapat perhatian sewajarnya.-pr/BNN