Cari pendekatan mesra alam selesai masalah bekalan letrik-Jainab

0
61
Jainab (tiga dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Yakub Khan di majlis itu

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri didesak agar mencari pendekatan lain yang lebih mesra alam dalam menyelesaikan masalah kekurangan bekalan eletrik di Sabah dan mengelakkan sama sekali menggunakan arang batu sebagai sumber untuk penjanaan tenaga eletrik.

Jainab melawat gerai usahawan di majlis itu.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Sabah, Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid yang membuat desakan tersebut berkata, Kerajaan Negeri  sekarang sepatutnya menghormati kehendak rakyat yang rata-rata tidak mahukan arang batu digunakan sebagai sumber untuk penjanaan tenaga eletrik sejak dahulu.

“Kita sememangnya maklum tentang masalah kekurangan bekalan eletrik yang dihadapi di Sabah ketika ini, namun ia tidak seharusnya digunakan sebagai alasan untuk menggunakan arang batu untuk penjanaan tenaga eletrik di negeri ini.

“Rakyat di negeri ini sejak dahulu lagi tidak inginkan arang batu digunakan sebagai sumber penjanaan tenaga eletrik di Sabah, dan ini seharusnya dihormati dan dikekalkan oleh Kerajaan Negeri yang baharu dibawah pimpinan parti Warisan ” katanya.

Jainab berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Keluarga  dan Hari Kanak-Kanak Sedunia Wanita UMNO Negeri Sabah di Kampung Kobuni, Inanam hari ini.

Program itu dijayakan dengan kerjasama Koperasi Kobera dan warga Sepanggar.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri,  Datuk Christina Liew di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, baru-baru ini.

Christina Liew dalam ucapan penggulungan Bajet Negeri Sabah 2019 berkata, kementeriannya mengambil maklum saranan agar pertimbangan sewajarnya dibuat berhubung dengan cadangan untuk menggunakan arang batu sebagai sumber alternatif bekalan eletrik di Sabah dan kesannya kepada alam sekitar serta industri pelancongan di Sabah.

Malah katanya, sebarang cadangan pembinaan jana kuasa menggunakan arang batu akan dikaji secara terperinci dengan mengambil kira dasar-dasar kerajaan semasa termasuk Dasar Alam Sekitar Negeri Sabah.

Jainab menegaskan sebarang cadangan Kerajaaan Warisan untuk menggunakan  arang batu bagi penjanaan sumber tenaga eletrik hanya akan menjejaskan kelestarian alam sekitar negeri ini.

Katanya, walaupun arang batu menjadi bahan api terbesar digunakan dalam penjanaan elektrik di Semenanjung iaitu 52 peratus, tetapi ianya tidak sesuai di Sabah kerana ekosistem dan alam semulajadi negeri ini yang masih terpelihara.

Menurutnya selain arang batu, sumber penjanaan tenaga elektrik yang lain yang boleh dipertimbangkan antaranya ialah gas asli, tenaga hidro dan solar.

Beliau berkata, sebarang eksploitasi sumber-sumber semulajadi terutama di kawasan-kawasan yang dilindungi seperti Maliau Basin dan Danum Valley akan mengancam kesejahteraan alam sekitar di Sabah.

Menurutnya, alam sekitar merupakan aset yang begitu penting dan utama kepada sektor pelancongan Sabah dan merupakan khazanah yang tidak ternilai yang perlu dilindungi untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

“Kerajaan Warisan perlu mencontohi pendirian Kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) yang berjuang dan mempertahankan kawasan Maliau Basin dan Danum Valley sebagai “Kawasan Dilindungi Sepenuhnya” (Totally Protected Area).

“Sebarang usaha dan cadangan oleh Kerajaan Warisan untuk menyediakan Pelan Gunatanah bagi pembangunan dan konservasi di Maliau Basin dan Danum Valley akan mengancam kelestarian dan kesejahteraan alam sekitar”,tegasnya.

Jainab menegaskan, kepentingan Maliau Basin dan Danum Valley yang mempunyai ekosistem tertua di dunia dan mendapat pengiktirafan dunia.

Justeru katanya, Kerajaan Warisan perlu bijak dalam tangani isu alam sekitar dan sumber semulajadi dengan mencontohi pendirian dan pendekatan Kerajaan
terdahulu.

Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Yakub Khan,  Ketua Penerangan Wanita UMNO Sabah, Dato Redonah Bahanda, Exco Puteri UMNO Malaysia, Suzie Hamad, Ketua Wanita UMNO Bahagian Kudat, Puan Normala Rasik.-Oleh LSK/BNN