KENINGAU: Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian N.41 Liawan menyatakan kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), termasuk menawarkan calon berpotensi untuk bertanding di kerusi Parlimen P.180 Keningau sekiranya diputuskan menerusi muafakat Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketegasan itu dizahirkan dalam Mesyuarat Bahagian pertama tahun 2026 yang diadakan pada 2 Mac lalu, sebagai persediaan awal menghadapi percaturan politik akan datang.

Ketua Bahagian PBS Liawan, Zachary Datuk Kinsik, berkata aspirasi berkenaan bukan bertujuan mencetuskan persaingan dalaman, sebaliknya merupakan hak demokratik parti komponen dalam gabungan untuk menyuarakan hasrat bertanding.

“Kita kekal setia kepada GRS. Segala keputusan berkaitan pembahagian kerusi akan ditentukan melalui rundingan dan konsensus. Keutamaan kita ialah kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Parlimen Keningau ketika ini diwakili Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan. Kawasan itu merangkumi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Tambunan, Bingkor dan Liawan.

Dalam pada itu, sejarah panjang PBS di Keningau turut menjadi rujukan. Kerusi berkenaan pernah diterajui hampir 32 tahun oleh Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang memimpin parti itu dari 1986 hingga 2018 dan membentuk landskap politik pedalaman Sabah.

Bagaimanapun, kepimpinan bahagian menegaskan segala aspirasi akan terus bergerak dalam kerangka kesepakatan GRS serta menghormati struktur kepimpinan sedia ada.

“Dalam demokrasi, rakyat adalah penentu. Siapa pun calon yang dipilih kelak, rakyat akan menentukan hala tuju kepimpinan Parlimen Keningau pada PRU-16,” katanya.-pr/BNN