KENINGAU: “Kita bukan mencari Yang Berhormat, tetapi kita mencari yang berkhidmat.”
Itulah luahan tulus Puan Siti Sarmilahwati Juhasin, penduduk Kampung Skim Pamalan, ketika menerima kunci Rumah Mesra SMJ — inisiatif kerajaan negeri yang diperkenalkan di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Dengan suara bergetar dan mata berkaca, beliau menyifatkan peluang memiliki rumah sendiri itu sebagai satu rahmat besar, sekali gus bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib rakyat kecil di luar bandar.
Puan Siti menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, yang menurutnya tidak pernah membezakan rakyat berdasarkan latar belakang atau fahaman politik.
“Walaupun kami datang daripada latar belakang politik yang berbeza, kami tetap diberi peluang yang sama untuk memiliki rumah sendiri. Inilah bukti kepimpinan yang adil dan berhati rakyat,” katanya dengan penuh sebak.
Beliau turut menyanjung usaha Datuk Annuar yang disifatkan sebagai pemimpin bekerja dalam senyap, tetapi hasilnya nyata dapat dirasai masyarakat.
“Saya amat berterima kasih kepada Datuk Annuar kerana meluluskan permohonan kami. Beliau tidak banyak bercakap, tapi banyak bekerja. Kami nampak hasilnya, bukan sekadar dengar janjinya,” ujarnya.
Bagi Siti, kehadiran wakil rakyat seperti Annuar telah memberi keyakinan baharu kepada penduduk Liawan bahawa pembangunan tidak lagi hanya janji di atas kertas, sebaliknya diterjemah melalui tindakan nyata.
Mengulas mengenai program Rumah Mesra SMJ, beliau menyifatkannya sebagai inisiatif yang benar-benar menyentuh hati rakyat marhaen, khususnya keluarga berpendapatan rendah yang selama ini hanya mampu bermimpi memiliki rumah sendiri.
“Ilham yang dicetuskan oleh Hajiji ini bukan sekadar memberi tempat berteduh, tetapi simbol kasih kerajaan terhadap rakyatnya,” katanya sambil berharap program itu diteruskan demi manfaat lebih ramai keluarga di seluruh negeri.
Beliau turut sekali lagi menegaskan keyakinannya terhadap kepimpinan Datuk Annuar.
“Pemimpin seperti beliau yang kami mahu. Bukan yang datang bila perlu undi, tapi yang hadir bila rakyat susah. Beliau bekerja dalam senyap, tapi hasilnya dirasai seluruh Liawan,” tegasnya.
Ungkapan itu bergema sebagai pengiktirafan jujur daripada rakyat biasa — bahawa pemimpin sejati bukan diukur pada gelaran “Yang Berhormat”, sebaliknya pada keikhlasan dan kesungguhan berkhidmat untuk rakyat.-pr/BNN





