KENINGAU: Langkah berani Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Liawan mengumumkan keluar parti dan kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukanlah keputusan bersifat emosi atau mengejut, sebaliknya hasil pertimbangan mendalam berasaskan prinsip perjuangan dan kepercayaan terhadap kepimpinan yang telah terbukti di lapangan.

Jurucakap kumpulan berkenaan, mantan Timbalan Ketua Bahagian STAR Liawan, Ramanus Michael, berkata keputusan itu dicapai secara sebulat suara selepas menilai hala tuju politik semasa serta meneliti keikhlasan dan keupayaan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, dalam membangunkan kawasan tersebut.

“Hari ini, semua AJK memilih untuk kekal teguh bersama Annuar Ayub Aman — seorang pemimpin yang telah membuktikan keikhlasan, kerja nyata dan hala tuju yang jelas untuk masa depan Liawan,” katanya ketika ditemui.

Ramanus menjelaskan, keputusan itu dibuat dengan penuh tanggungjawab dan tidak berasaskan sentimen atau kepentingan politik sempit, sebaliknya berpaksikan kepada prinsip kejujuran, kepercayaan dan keutamaan rakyat.

“Kita tidak menoleh ke belakang. Kita tidak terikat pada simbol atau warna, kerana perjuangan ini berakar pada kepercayaan dan keikhlasan,” tegasnya.

Katanya, pendirian mereka tidak mudah digoyahkan kerana yakin hanya kepimpinan yang tulus dan bekerja untuk rakyat mampu membawa Liawan ke arah kemajuan sebenar.

“Bersama Annuar, kita terus melangkah. Bersama GRS, kita terus membina Liawan yang maju, stabil dan berdaya saing,” ujarnya lagi.

Menurut Ramanus, keputusan itu juga disampaikan secara rasmi melalui surat bertajuk “Penjelasan Pendirian Kekal Dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pengumuman Keluar dari Parti STAR”, yang ditujukan kepada Presiden Parti STAR Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, di ibu pejabat parti, Kota Kinabalu.

Dalam surat berkenaan, seluruh barisan Ahli Jawatankuasa Bahagian Parti STAR N.41 Liawan menegaskan pendirian untuk kekal bersama GRS sebagai platform politik yang diyakini membawa kepentingan rakyat, selain memaklumkan pengunduran rasmi daripada keahlian Parti STAR berkuat kuasa pada tarikh surat tersebut.

Surat itu, katanya, disusun dengan bahasa yang sopan dan berhemah tanpa sebarang unsur konfrontasi, sebagai tanda penghargaan terhadap kepimpinan STAR khususnya kepada Dr. Jeffrey atas peluang dan kepercayaan yang pernah diberikan.

Ramanus menegaskan bahawa keputusan itu bukan berpaksikan kepentingan individu, sebaliknya hasil muafakat bersama demi memastikan perjuangan politik di Liawan terus berpaksikan kepada rakyat dan pembangunan.

“Inilah perjuangan kami — bukan kerana parti, tetapi kerana prinsip dan keikhlasan,” katanya menutup kenyataan.

Dengan tindakan itu, kepimpinan STAR Bahagian Liawan kini dilihat lumpuh sepenuhnya, apabila keseluruhan barisan AJK bahagian bertindak keluar parti dan menyatakan sokongan padu kepada Annuar serta kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).-pr/BNN