KOTA KINABALU: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee menyifatkan tempoh panjang selama 39 hari antara pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hari penamaan calon sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah politik Sabah, dan berpotensi memberi kesan negatif kepada ekonomi negeri.

Menurut Yong, tempoh keseluruhan 53 hari dari pembubaran DUN hingga hari pengundian hampir mencapai had maksimum 60 hari yang dibenarkan oleh Perlembagaan Sabah — satu keadaan yang tidak pernah berlaku sejak peraturan itu diperkenalkan pada 1980-an.

“Tempoh ini terlalu panjang dan hanya boleh dianggap sebagai ruang tambahan untuk parti-parti dari Semenanjung, khususnya PKR, menyelesaikan kemelut dalaman dan pertikaian pencalonan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut berpendapat tempoh berkenaan memberi kelebihan kepada pemimpin Persekutuan termasuk Perdana Menteri untuk menyesuaikan jadual persiapan politik selepas Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Oktober ini.

Yong menegaskan, dengan kerajaan negeri kini berfungsi sebagai kerajaan “caretaker” dan sektor swasta mengambil sikap tunggu dan lihat, ekonomi Sabah akan terkesan secara langsung.

“Tempoh hampir dua bulan ini akan melemahkan aktiviti ekonomi negeri. Dalam erti kata lain, kepentingan Sabah sekali lagi dikompromi,” katanya.

Beliau menambah, bagi parti yang berdepan perpecahan dalaman seperti PKR dan DAP, tempoh tambahan itu mungkin menjadi “peluang keemasan” untuk terus bertelagah sesama sendiri.

“Masa tambahan ini boleh menjadi ruang bagi pelbagai pihak dan panglima politik dalam Pakatan Harapan menjatuhkan antara satu sama lain — dan mungkin turut mengheret GRS bersama mereka,” tegas Yong.

Sebaliknya, katanya, bagi parti-parti tempatan yang lebih teratur dan berdisiplin, masa tambahan ini boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh jentera pilihan raya serta mempertingkat perpaduan sesama parti tempatan Sabah.

Mengulas strategi parti, Yong berkata SAPP akan menggunakan tempoh kempen yang panjang ini untuk memperkukuh hubungan dengan rakyat melalui pendekatan bersemuka dan jaringan tempatan.

“Kami akan gunakan masa ini untuk mengatasi kekangan seperti akses media arus perdana yang dikawal kerajaan Persekutuan, kekurangan sumber kewangan serta kelemahan logistik,” katanya.

Menurutnya, dalam suasana media sosial yang dibanjiri “cybertrooper” dari Malaya, parti tempatan seperti SAPP dan STAR perlu bergantung kepada kekuatan akar umbi dan sokongan rakyat Sabah sendiri.

“Sentuhan peribadi, pertemuan mata ke mata adalah cara terbaik menunjukkan keikhlasan perjuangan kita. Pemimpin Persekutuan yang hanya datang dan pergi bersama proksi tempatan mereka mungkin sekadar dilihat sebagai pelancong politik dalam misi memancing undi,” ujarnya.-pr/BNN