KENINGAU: Nama Rafie Datuk Robert, 38, kini semakin hangat diperkatakan dalam kalangan pemerhati politik tempatan sebagai antara calon muda berpotensi mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau dikenali sebagai figura muda berwawasan yang membawa pendekatan segar dalam pembangunan daerah, khususnya dalam sektor pelancongan, kebudayaan, sukan dan pendidikan.
Rafie kini memegang jawatan Setiausaha Pemuda GRS Pusat, Ketua Penyelaras Pemuda GRS Bahagian Keningau, serta Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).
Sebagai bekas Pengurus Sabah FC pada musim 2024/2025, Rafie memainkan peranan penting mengekalkan pasukan dalam kelompok tiga teratas liga — satu pencapaian yang menyerlahkan keupayaan dan disiplin kepimpinan anak muda dalam bidang sukan profesional.
Pelantikan beliau sebagai Ahli Lembaga Tadbir (Board of Governance) Geomatika College Keningau pada 15 Ogos 2025 turut memperkukuh kredibilitinya sebagai pemimpin muda yang komited terhadap kemajuan pendidikan tempatan.
Di peringkat komuniti, Rafie aktif sebagai Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Daerah Keningau, serta Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras KDCA Daerah Keningau.
Beliau juga merupakan penggerak utama Crocker Range Festival, acara tahunan berprestij yang berjaya menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa ke Keningau.
Pemerhati politik tempatan, Harry Gitik, menyifatkan kemunculan Rafie sebagai langkah tepat dan berani oleh GRS dalam memperkukuh barisan pelapis muda, khususnya di kawasan pedalaman.
“Rafie bukan sekadar simbol generasi muda, tetapi tenaga baharu yang mampu mengangkat semula semangat kemasyarakatan, ekonomi pelancongan, pembangunan sukan dan pendidikan di Bingkor,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan inklusif Rafie selaras dengan aspirasi GRS untuk memperkasa peranan anak muda dalam struktur kepimpinan akar umbi.
Rafie dikenali dengan gaya kepimpinan terbuka dan mesra rakyat. Beliau kerap turun padang menghadiri program komuniti serta mendengar terus pandangan masyarakat di peringkat akar umbi.
Bagi beliau, pembangunan daerah perlu berasaskan kekuatan komuniti setempat dengan penglibatan aktif generasi muda dalam bidang pelancongan, keusahawanan, kebudayaan, sukan dan pendidikan.
Penganjuran Crocker Range Festival di bawah penyelarasannya bukan sahaja mengangkat identiti budaya dan seni masyarakat pedalaman, tetapi turut memperkukuh imej Keningau sebagai hab pelancongan tanah tinggi yang berdaya saing.
Dengan latar kepimpinan dinamik, pengalaman dalam bidang sukan profesional, peranan dalam lembaga pendidikan serta keupayaan merapatkan pelbagai komuniti, Rafie dilihat berpotensi besar untuk mengemudi Bingkor ke arah pembangunan lebih mapan, inklusif dan berteraskan penyertaan rakyat.-pr/BNN





