KOTA BELUD: Sabah Energy Corporation (SEC) terus memperkukuh komitmen terhadap kelestarian alam sekitar apabila menyertai Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025, yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) di Hutan Simpan Ulu Kukut, di sini, hari ini.
Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), SEC menyerahkan sumbangan berjumlah RM25,000 kepada JPS bagi menampung kos penanaman 680 anak pokok daripada spesies hutan tempatan seperti Dipterocarpus, Laran dan Binuang.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEC, Datuk Adzmir Abd Rahman, kepada Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Frederick Kugan, dalam satu majlis ringkas yang turut disaksikan pengurusan tertinggi kedua-dua organisasi.
Sebagai simbolik penyertaan, seramai 50 warga kerja SEC turut mengambil bahagian dalam aktiviti penanaman 60 pokok di kawasan seluas 1.7 hektar yang diperuntukkan kepada syarikat berkenaan.
Adzmir berkata, penglibatan SEC dalam program itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk menyokong usaha pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar secara berkesan.
“Dalam mengejar kemajuan industri, keseimbangan dengan alam semula jadi tidak boleh diabaikan. Kelestarian alam bukan sekadar tanggungjawab korporat, tetapi warisan yang perlu dipertahankan untuk generasi masa hadapan,” katanya.
Kempen Penanaman 100 Juta Pokok ini merupakan sebahagian daripada inisiatif jangka panjang JPS untuk memulihara kawasan hutan, dengan matlamat meningkatkan litupan hijau dan mengukuhkan ekosistem hutan Sabah.
Dengan penyertaan sektor korporat seperti SEC, usaha ini dijangka dapat mempercepatkan agenda penghijauan negara selain memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar.-pr/BNN





