KENINGAU: Sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan petugas kesihatan yang sentiasa berkhidmat demi kesejahteraan rakyat, Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Keningau, Rafie Robert, turun padang menyampaikan sumbangan “goodies bag” kepada warga kerja di beberapa fasiliti kesihatan sekitar daerah ini.
Antara lokasi yang dikunjungi ialah Klinik Kesihatan Apin-Apin, Klinik Desa Kampung Baginda, Klinik Kesihatan Bingkor, Pejabat Kesihatan Pergigian Keningau, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Keningau, Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau serta Hospital Keningau.
Rafie berkata, sumbangan tersebut merupakan tanda penghargaan Pemuda GRS terhadap dedikasi tinggi petugas kesihatan yang sentiasa komited menjalankan tugas walaupun berdepan pelbagai cabaran.
“Kami amat menghargai setiap pengorbanan dan kerja keras para petugas kesihatan yang menjadi tulang belakang dalam memastikan kesihatan rakyat sentiasa terpelihara. Semoga sumbangan kecil ini dapat memberi semangat baharu kepada mereka untuk terus berbakti,” katanya.
Menurutnya, inisiatif itu juga mencerminkan semangat prihatin Pemuda GRS terhadap kebajikan golongan barisan hadapan yang sentiasa bersedia menghadapi pelbagai situasi, termasuk wabak penyakit dan kecemasan kesihatan.
Rafie turut menzahirkan rasa bangga terhadap profesionalisme dan ketabahan pasukan kesihatan Keningau yang menjadi contoh terbaik dalam perkhidmatan awam di negeri ini.
“Salute kepada semua wira dan wiranita kesihatan. Teruskan berkhidmat dengan semangat dan kasih terhadap Keningau yang kita sayangi,” tambahnya.
Program penghargaan itu turut disertai beberapa ahli jawatankuasa Pemuda GRS Keningau yang berharap usaha sebegini dapat diteruskan sebagai wadah merapatkan hubungan antara masyarakat dengan pasukan kesihatan di peringkat akar umbi.-pr/BNN





