KENINGAU: Program kebajikan dan kesihatan terbesar di kawasan Bingkor, Jelajah Sinar Kasih BMBR, bakal berlangsung pada 1 November 2025 bermula jam 8.00 pagi di Dewan Terbuka Kampung Tangkongon, dengan pelbagai pengisian menarik untuk masyarakat setempat.

Dianjurkan di bawah pimpinan Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Keningau, Rafie Datuk Robert, program ini membawa tema “Bingkor Membangun Bersama Rakyat”, melambangkan komitmen kepimpinan tempatan dalam memperkukuh hubungan pemimpin dengan rakyat menerusi pendekatan kebajikan dan kemasyarakatan.

Program ini menampilkan pemeriksaan kesihatan percuma, pemberian barangan keperluan asas, serta cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik sebagai penghargaan kepada masyarakat yang hadir.

Selain itu, golongan keluarga muda dan warga kurang berkemampuan turut menerima bantuan seperti pampers percuma, bakul makanan warga emas, dan insurans keluarga percuma hasil kerjasama bersama Allianz.
Menurut Rafie, inisiatif seperti ini bukan sekadar memberi bantuan sementara, tetapi bertujuan mewujudkan kesejahteraan jangka panjang melalui kesedaran kesihatan, keselamatan sosial dan sokongan komuniti.
“Program ini bukan hanya tentang memberi, tetapi tentang mendengar dan memahami keperluan rakyat Bingkor. Kami mahu setiap lapisan masyarakat merasakan bahawa mereka tidak keseorangan dalam membina masa depan lebih baik,” katanya.

Menariknya, Jelajah Sinar Kasih BMBR juga menjadi ruang interaksi langsung antara rakyat dan pemimpin tempatan, termasuk peluang membincangkan isu-isu pembangunan, kebajikan, serta keperluan prasarana di peringkat akar umbi.

Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada Penyandang ADUN Bingkor, Datuk Robert Tawik, yang menegaskan pentingnya program berbentuk turun padang seperti ini untuk mendengar denyut nadi rakyat secara langsung.

Jelajah ini dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Penggerak Masyarakat Keningau dan Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, menandakan gabungan tenaga antara NGO, pemimpin muda dan masyarakat untuk menjayakan agenda sosial di peringkat tempatan.

Antara aktiviti lain yang disediakan termasuk: Jualan Rahmah Madani, pemeriksaan mata percuma, pemberian simkad percuma, pameran insurans dan keselamatan keluarga, pertandingan mewarna kanak-kanak, cabutan bertuah dan hadiah istimewa.

Tema utama program ini mencerminkan aspirasi kepimpinan tempatan untuk membawa pembangunan yang inklusif, memastikan tiada lapisan masyarakat yang tercicir daripada arus kemajuan.

“Bingkor hanya akan terus maju apabila rakyat dan pemimpin saling berganding bahu. Program seperti ini ialah bukti bahawa pembangunan bukan sekadar infrastruktur, tetapi kesejahteraan rakyat,” ujar Rafie.

Jelajah Sinar Kasih BMBR terbuka kepada semua penduduk Bingkor tanpa sebarang bayaran penyertaan. Orang ramai diseru hadir bersama keluarga bagi memanfaatkan peluang mendapatkan khidmat percuma, menyertai aktiviti komuniti dan membina semangat perpaduan sesama penduduk.-pr/BNN