KENINGAU : Deruman jentera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini memecah kesunyian Mukim Tuntumulud apabila kerja-kerja pembersihan dan pengorekan sistem pengairan giat dijalankan, menandakan babak baharu buat masyarakat tani di kawasan ini.

Tindakan segera JPS Keningau itu adalah hasil aduan penduduk yang mendapat perhatian penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik Mansai, sekali gus memberi kelegaan kepada petani yang sekian lama berdepan masalah pengairan sawah.

Petani Kampung Buang Sayang, Moses Sadoon Lasawon, berkata usaha itu disifatkan sebagai rahmat besar kepada pengusaha tanaman padi.

“Usaha ini amat kami hargai kerana ia memulihkan sistem pengairan yang menjadi nadi tanaman kami. Terima kasih kepada JPS dan Robert yang sentiasa mendengar suara rakyat,” katanya.

Ketua Kampung Tangkongon, KK Nelson Jiun, dan Presiden Persatuan Gana Sabah (PGS), Julian Flavinus Lian Likang @ Mohd Hafiz, turut menzahirkan penghargaan terhadap tindakan pantas pihak berkuasa.

“Langkah ini membuktikan kerajaan peka terhadap keperluan rakyat luar bandar. Ia bukan sekadar pembersihan, tetapi simbol keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat tani,” ujar mereka.

Kerja-kerja berkenaan melibatkan pengorekan lumpur, pembuangan rumpai dan pengalihan bahan yang menyekat aliran air — langkah yang dijangka meningkatkan kecekapan sistem pengairan serta mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan pertanian utama Mukim Tuntumulud dan sekitarnya.

Penduduk kampung menilai tindakan pantas ini sebagai bukti kepimpinan berjiwa rakyat. Kini, aliran air yang kembali lancar menjadi simbol baharu keyakinan mereka terhadap kerajaan dan pemimpin tempatan.-pr/BNN