KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan menegaskan bahawa pencapaian nyata Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah membuktikan siapa sebenarnya yang “menjual ubat” kepada rakyat.
Beliau berkata, tuduhan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal yang menuduh Hajiji sebagai “penjual ubat” hanyalah cubaan mengalih perhatian daripada kegagalan pentadbiran Warisan yang masih segar dalam ingatan rakyat.
“Shafie boleh menuduh apa sahaja, tetapi rakyat tahu siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya menjual janji,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Nizam menegaskan, Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan slogan politik seperti yang digambarkan pembangkang, sebaliknya telah menunjukkan hasil ketara dalam tempoh singkat.
Katanya, di bawah kepimpinan Hajiji, hasil negeri Sabah mencapai hampir RM7 bilion pada tahun 2024 hasil reformasi fiskal dan pentadbiran baharu yang memastikan pengurusan kewangan negeri lebih telus dan berkesan.
“Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 sahaja, pelaburan bernilai RM11.37 bilion telah direkodkan — angka ini membuktikan keyakinan pelabur terhadap dasar kerajaan negeri,” katanya.
Mengulas isu air yang sering dijadikan modal politik Warisan, Nizam berkata kerajaan GRS kini sedang melaksanakan 18 projek infrastruktur air di seluruh negeri, termasuk Projek Empangan Air Tawau, Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon 2 di Papar, dan Projek Naik Taraf Muka Sauk Kabang yang dijangka siap tahun depan.
“Projek-projek ini adalah sebahagian pelan jangka panjang bagi memastikan akses air bersih yang mampan untuk rakyat Sabah, bukan janji ‘setahun selesai’ yang tinggal retorik semasa Warisan berkuasa,” jelasnya.
Beliau berkata, GRS turut melaksanakan pembinaan empangan baharu, pembesaran loji rawatan sedia ada dan menaik taraf sistem agihan air yang telah lama diabaikan.
Di bawah pelan SMJ, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar melalui naik taraf jalan pedalaman bagi membuka akses ekonomi baharu dan mempercepatkan kemajuan kawasan terpencil.
Selain itu, program Rumah Mesra SMJ telah menyiapkan lebih 7,000 unit rumah untuk warga Sabah, sementara Bantuan Tunai SMJ pula membantu meringankan beban rakyat berpendapatan rendah.
Nizam menegaskan, semua pencapaian ini membuktikan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Hajiji Noor.
“Rakyat Sabah tidak lupa bahawa semasa Warisan berkuasa, pelaburan besar hanya diumumkan di atas kertas, krisis air semakin teruk dan banyak projek rakyat terbengkalai selepas dua tahun mentadbir,” katanya.
Beliau menambah, GRS bukan sekadar menunaikan tanggungjawab mentadbir, tetapi sedang “menyembuhkan” kesan daripada pentadbiran lama yang gagal.
“GRS tidak menjual ubat. GRS sedang memulihkan Sabah berasaskan fakta, hasil dan kerja nyata — bukan retorik. Rakyat kini mahu kerajaan yang bekerja, bukan yang berjanji,” tegasnya.-pr/BNN





