KENINGAU: Dua Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi PDM Liau dan PDM Keningau Station menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian mantan Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik, yang menyeru ahli serta penyokong STAR agar terus bersama perjuangan GRS demi kestabilan dan kemajuan negeri.
Ketua PDM Liau, Harry Gitik, dan Ketua PDM Keningau Station, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, menegaskan keyakinan mereka bahawa hanya melalui GRS di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, kestabilan politik serta kesinambungan pembangunan dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan.
Menurut mereka, kestabilan politik yang berjaya dibina sejak 2020 telah menghasilkan banyak kemajuan nyata untuk rakyat, termasuk di kawasan pedalaman seperti Bingkor dan Keningau.
“Melalui pentadbiran GRS, pelbagai projek pembangunan asas seperti jalan kampung, bekalan air bersih, elektrik, serta inisiatif ekonomi dan sokongan kepada petani dan belia telah dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Kedua-dua pemimpin PDM itu turut menjelaskan bahawa mereka menghormati keputusan Presiden STAR Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, untuk membawa parti keluar daripada GRS secara sukarela.
Namun, katanya, majoriti ahli di peringkat akar umbi masih bersama GRS dan yakin terhadap kemampuan kerajaan pimpinan Hajiji Noor dalam membawa Sabah ke arah masa depan yang lebih baik.
“Kami berdiri teguh bersama Robert Tawik dan kepimpinan GRS dalam memastikan kesinambungan pembangunan serta kestabilan politik di Sabah terus terjamin,” tegas mereka dalam satu kenyataan bersama.
Mereka turut beriltizam untuk terus bekerja rapat dengan rakyat di peringkat akar umbi bagi memastikan setiap program pembangunan kerajaan sampai kepada golongan sasar.
“Bingkor dan seluruh pedalaman Sabah perlu terus maju di bawah kepimpinan GRS — bukan kembali kepada ketidaktentuan. Ayuh bersama GRS, Sabah Maju Jaya!” ujar mereka.-pr/BNN





