MENUMBOK: Kuala Penyu mencipta sejarah hari ini apabila melancarkan lima program serentak dalam satu acara yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor.
Acara yang diadakan di Tapak Tamu Menumbok di sini, ialah pelancaran buku Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok, penyerahan kunci Rumah Mesra SMJ, perasmian Masjid Nur Ihsan, penyerahan warta tanah dan penyampaian bantuan Yayasan Pendidikan Limus Jury (YPLJ).
Penyandang kerusi DUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury, dalam ucapannya berkata lima acara itu menjadi bukti bahawa kerajaan sedia ada mempunyai perancangan jauh ke hadapan.
“Semua ini adalah bukti jelas bahawa kerajaan GRS bukan sekadar bercakap, tetapi benar-benar bekerja untuk rakyat. Kita tunaikan janji.
“Kita bukan kerajaan yang datang hanya untuk berjanji, tetapi kerajaan yang datang menunaikan janji,” katanya.
Menurutnya, pelancaran buku Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Menumbok menjadi asas penting kepada perancangan jangka panjang daerah ini.
Katanya, ia bukti bahawa kerajaan mempunyai gagasan besar untuk membawa pembangunan menyeluruh kepada rakyat luar bandar.
“Melalui pelan strategik ini, kita bukan sahaja merancang pembangunan fizikal, tetapi juga pembangunan ekonomi, sosial dan pendidikan yang seimbang untuk rakyat di kedua-dua daerah,” katanya.
Beliau berkata program penyerahan kunci Rumah Mesra SMJ pula membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat berpendapatan rendah.
Katanya, kerajaan memastikan setiap rakyat mempunyai tempat tinggal yang selesa.
Manakala perasmian Masjid Nur Ihsan Menumbok memberi makna yang amat besar sebagai lambang perpaduan ummah dan keharmonian antara kaum di daerah ini.
Beliau berkata masjid itu bukan sekadar tempat ibadah, tetapi juga menjadi pusat penyatuan masyarakat setempat.
Dalam masa sama, katanya, penyerahan warta tanah kepada rakyat adalah langkah yang dinanti-nantikan.
“Ia menjamin hak milik dan masa depan keluarga di tanah air sendiri,” katanya.
Beliau juga berkata melalui Yayasan Pendidikan Limus Jury menjadi bukti komitmennya memberi keutamaan kepada pendidikan.
“Ini bukti jelas bahawa agenda pendidikan tetap menjadi teras perjuangan kita untuk membina masa depan generasi muda,” katanya.-pr/BNN





