KENINGAU: Masyarakat di daerah Keningau menyambut baik pelaksanaan Projek Relief Road Keningau, sebuah inisiatif strategik kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memperkukuh sistem infrastruktur jalan raya di kawasan pedalaman.
Projek yang melibatkan pembinaan jalan sepanjang 3.84 kilometer serta dua buah jambatan utama ini akan menjadi laluan alternatif baharu yang menghubungkan Jalan Durok hingga ke Tuarid Taud. Ia mula dibina pada 21 April 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada 20 April 2027.
Apabila siap kelak, projek ini akan berfungsi sebagai penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar Keningau, selain memberi kemudahan kepada ribuan pengguna jalan raya yang berulang-alik setiap hari antara kawasan pinggir dan pusat bandar.
Menurut Encik Harry Gitik, pelaksanaan projek berimpak tinggi ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan infrastruktur di pedalaman Sabah terus dipacu secara inklusif dan seimbang.
“Pembinaan Relief Road ini bukan sekadar projek fizikal, tetapi satu langkah strategik dalam merangsang pembangunan ekonomi dan sosial daerah Keningau. Ia akan memperkukuh jaringan jalan raya, mempercepat pergerakan rakyat serta membuka peluang pelaburan baharu di kawasan sekitar,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa pelaksanaan projek ini selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menumpukan kepada peningkatan kemudahan asas rakyat dan pembangunan luar bandar.
“Komitmen kerajaan negeri melalui projek ini membuktikan bahawa GRS menunaikan janji untuk membawa pembangunan yang benar-benar menyentuh keperluan rakyat di peringkat akar umbi,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Encik Garrett Patrick, menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan agensi pelaksana kerana mendengar serta menunaikan harapan masyarakat tempatan.
“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan negeri atas pelaksanaan projek ini yang telah lama dinantikan. Jalan alternatif ini akan membantu mengurangkan kesesakan di bandar Keningau, menjimatkan masa perjalanan dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa selain manfaat jangka panjang kepada pengguna jalan raya, projek tersebut juga memberi kesan positif dari segi peluang pekerjaan serta limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan sepanjang tempoh pembinaan.
“Kami berharap agar projek ini disiapkan mengikut jadual dan menepati standard kualiti pembinaan yang tinggi, supaya manfaatnya dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat,” tambahnya.
Kedua-dua mereka turut sependapat bahawa pelaksanaan projek ini membuktikan keprihatinan Kerajaan GRS terhadap keperluan rakyat di luar bandar, di samping memperkukuh kesejahteraan masyarakat melalui kemudahan asas yang lebih moden dan selamat.
“Projek Relief Road Keningau ini akan menjadi nadi penghubung baharu kepada pertumbuhan ekonomi daerah dan bukti nyata bahawa usaha pembangunan kerajaan negeri tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja, tetapi turut menyeluruh hingga ke pedalaman,” kata mereka.
Projek ini dijangka menjadi satu lagi mercu tanda kejayaan usaha kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan infrastruktur yang mampan, selaras dengan visi Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk membangunkan negeri ke arah kemakmuran rakyat secara menyeluruh.-pr/BNN





