KENINGAU: Komitmen terhadap pendidikan terus dizahirkan apabila Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau tampil menyalurkan sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bunga Raya bagi menjayakan Majlis Angkat Sumpah AJK PIBG Sesi 2025/2026.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Persatuan Kebudayaan Daerah Keningau, Mohd Zaki Zakaria yang mewakili Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert, dan diterima oleh Pengerusi PIBG SK Bunga Raya, Japrin Thomas.
Japrin berkata, sumbangan itu bukan sahaja membantu melancarkan penganjuran majlis, malah menjadi dorongan kepada pihak sekolah serta ibu bapa untuk terus aktif dalam pelaksanaan program PIBG.
“Kami amat menghargai keprihatinan dan sokongan Encik Rafie Robert terhadap PIBG serta pembangunan pendidikan anak-anak di SK Bunga Raya. Sumbangan ini memberi semangat kepada komuniti untuk terus berganding bahu demi kecemerlangan murid,” katanya.
Sementara itu, Rafie ketika ditemui menjelaskan bahawa fokus persatuan yang dipimpinnya tidak terhad kepada aspek pelancongan dan kebudayaan semata-mata, tetapi turut merangkumi tanggungjawab sosial terhadap pendidikan dan pembangunan insan di daerah ini.
“Anak-anak kita ialah pewaris masa depan daerah. Mereka perlu dibentuk dengan sokongan padu daripada ibu bapa, guru dan komuniti.Persatuan akan terus berusaha membantu memperkukuh ekosistem pendidikan di Keningau,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau akan terus turun padang menyokong pelbagai program komuniti yang memberi impak langsung kepada pendidikan serta kesejahteraan rakyat setempat.-pr/BNN





