KOTA KINABALU: Majlis Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan semula bahawa hak Sabah terhadap 40 peratus hasil yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan merupakan hak perlembagaan yang mesti dihormati dan dilaksanakan.

Dalam kenyataan selepas mesyuarat di Seri Gaya hari ini, Majlis Presiden mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober 2025 yang mengesahkan hak perlembagaan Sabah terhadap geran khas 40 peratus bagi tahun 1974 hingga 2021, serta alasan penghakiman yang dikeluarkan hari ini.

“Isu ini bukan sekadar persoalan undang-undang tetapi menyentuh maruah perlembagaan. Artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, bersama Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), merupakan asas utama penyertaan Sabah dalam pembentukan Malaysia. Keputusan mahkamah ini hanya melaksanakan apa yang telah lama dipersetujui,” menurut kenyataan itu.

GRS turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan agar tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut memandangkan mahkamah tidak mengenakan sebarang penalti kewangan, sebaliknya hanya mengarahkan semakan semula perlembagaan dilakukan mengikut peruntukan Artikel 112C dan 112D.

“Sekiranya keputusan itu dirayu, ia bermakna menolak proses rundingan itu sendiri, bukan hasilnya,” tambah kenyataan itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor telah mengarahkan Kementerian Kewangan Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri (EPU) dan Jabatan Peguam Besar Negeri untuk meneliti alasan penghakiman tersebut dan bersedia mengadakan rundingan bermakna dengan Kerajaan Persekutuan seperti yang diarahkan oleh mahkamah.

“Selama ini, rakyat Sabah — dari Pitas hingga ke Pensiangan — terpaksa berdepan gangguan elektrik, jalan tidak berturap, dan klinik tanpa doktor. Ini bukan sekadar angka dalam laporan, tetapi realiti akibat ketidaksamarataan berdekad lamanya,” ujar kenyataan itu lagi.

Majlis Presiden turut menegaskan komitmen Sabah untuk terus mengekalkan hubungan kerja yang konstruktif dan penuh hormat dengan Putrajaya di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sabah kekal teguh menyokong Perdana Menteri yang mempamerkan pendekatan inklusif dan terbuka, sekali gus memperkukuh perpaduan negara serta menaikkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa. Melalui komitmen beliau, kerajaan GRS telah berjaya memperoleh 13 daripada 29 tuntutan MA63 daripada Kerajaan Persekutuan,” jelas kenyataan itu.-pr/BNN