Ahli PPNS diminta keluar awal untuk mengundi

0
169
Mohd.Nazri (duduk, tiga dari kiri) di majlis itu.
Mohd. Nazri bersama penyanyi undangan menghiburkan orang ramai di majlis itu.
WESTON: Orang ramai khususnya pengundi dari kalangan peladang, penternak dan nelayan diingatkan supaya keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hari ini.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) Datuk Mohd Nazri Abdullah ketika memberi peringatan itu juga menasihatkan mereka supaya keluar awal serta memastikan ada membawa bersama kad pengenalan sebagai dokumen rasmi.
“Mengundi adalah satu kewajipan menerusi sistem demokrasi yang dipraktikkan di negara kita untuk memilih kerajaan setiap lima tahun.
Mohd. Nazri berucap dalam acara itu
“Justeru, sebagai rakyat Malaysia adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat, terutama mereka yang bernaung sebagai ahli di bawah PPNS untuk menyempurnakan amanah yang termaktub dalam sistem demokrasi ini,” katanya ditemui pada majlis penutupan Muafakat Peladang Peringkat Negeri di  Dataran Weston pada Isnin malam.
Program berkenaan dianjurkan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dengan kerjasama PPNS dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sipitang.
Mohd Nazri yang juga Timbalan Pengerusi Nafas menasihatkan pengundi terutama ahli persatuan itu supaya keluar awal untuk mengundi bagi mengelak sebarang masalah seperti kesesakan dan faktor cuaca.
Katanya, disebabkan keadaan cuaca tidak menentu di Sabah sekarang, maka pengundi perlu keluar awal hari ini.
“Jangan kita keluar lewat, nanti berebut-rebut jadinya, berbaris dan berpanas sehingga penat dan bosan menunggu dan akhirnya tidak sempat mengundi pula,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Nazri berkata PPNS yang mempunyai lebih 100,000 ahli akan memperhebatkan program berasaskan sosioekonomi menerusi PPK tahun ini bagi membantu meningkatkan produktiviti bahan makanan.
“Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan yang boleh dimanfaatkan ahli bagi meningkatkan pengeluaran bahan makanan supaya kita dapat mengurangkan import,” katanya.-pr/BNN