KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa keputusan dua bekas pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang kini menjadi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan hak demokratik yang harus dihormati.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, setiap individu dalam sistem politik bebas membuat pilihan terhadap parti yang ingin diwakili dan perkara itu mencerminkan amalan demokrasi yang sihat di Sabah.

“Sudah tentu itu hak demokrasi mereka untuk memilih parti yang ingin diwakili. Mereka memilih untuk bertanding atas tiket PKR. Secara kebetulan, PKR juga merupakan rakan gabungan dalam kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dan Maybank, bagi membiayai projek Ekonomi Biru di Sabah, di Menara Kinabalu pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Datuk Jamawi Jaafar dan Datuk George Hiew yang sebelum ini merupakan pemimpin Gagasan Rakyat tetapi kini dinamakan sebagai calon PKR.

Hajiji yang juga dan Presiden Gagasan Rakyat menegaskan, perkara itu tidak menimbulkan sebarang masalah kepada GRS mahupun Gagasan Rakyat, kerana ia mencerminkan keunikan dan dinamika politik negeri Sabah.

“Bagi saya, tiada masalah — inilah dinamika politik di Sabah. Kedua-dua individu berkenaan kini secara rasmi adalah calon PKR dan bukan lagi mewakili Gagasan Rakyat.

“Kami sudah pun melepaskan mereka. Apa lagi yang boleh dilakukan? Itu hak mereka dan kita menghormatinya. Kita tidak boleh menghalang — itu sebahagian daripada demokrasi,” katanya.

Hajiji turut menegaskan bahawa Gagasan Rakyat akan tetap menyokong mereka sebagai calon daripada komponen Kerajaan Perpaduan.“Jadi, biarlah begitu. Kita tetap akan memberikan sokongan kerana mereka adalah calon Pakatan Harapan,” katanya.

Sementara itu, mengenai tindakan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang melepaskan jawatan dalam Kabinet Persekutuan yang didakwa tidak sependapat dengan pendirian Kerajaan Pusat, Hajiji berkata, beliau enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak boleh memberi komen lanjut. Kami sudah pun mengeluarkan kenyataan. Jika boleh, kami berharap Kerajaan Persekutuan tidak membuat rayuan. Namun, jika mereka ingin membuat rayuan, itu adalah keputusan mereka,” katanya ringkas.

Terdahulu, Hajiji menyaksikan sesi menandatangani perjanjian antara Kerajaan Negeri dan Maybank bagi pembiayaan projek Ekonomi Biru, satu inisiatif baharu kerajaan negeri untuk merancakkan pembangunan sektor ekonomi berasaskan sumber maritim di Sabah.-pr/BNN