KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah hari ini mengadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas peringkat pegawai, susulan Perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025 yang mengarahkan kajian semula nilai Pemberian Khas Sabah mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong, dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican. Turut hadir ialah pegawai kanan Kementerian Kewangan Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perdana Menteri serta Perbendaharaan Malaysia Sabah.

Delegasi Kerajaan Negeri Sabah pula diwakili Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh; Penasihat Undang-Undang kepada Ketua Menteri, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof; Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Datuk Jasmine Teo; serta beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Menurut kenyataan bersama, kedua-dua pihak bersetuju bahawa mesyuarat ini merupakan permulaan yang positif dan konstruktif, dengan kesepakatan untuk melaksanakan kajian semula Pemberian Khas Sabah berdasarkan formula 40 peratus hasil bersih Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Wakil Persekutuan dan Negeri turut menegaskan komitmen untuk meneruskan rundingan secara progresif berteraskan semangat kerjasama, saling menghormati serta perkongsian data kewangan yang diperlukan bagi memastikan proses kajian berjalan lancar.

Kedua-dua pihak menyatakan keyakinan bahawa pertemuan ini menjadi landasan kukuh ke arah mencapai penyelesaian berkaitan pelaksanaan Pemberian Khas Sabah.-pr/BNN