TAWAU : Calon Pakatan Harapan (PH) N69 Sri Tanjong , Philip Yap Wui Lip, hari ini menegur keras calon Warisan Justin Wong kerana memutarbelit fakta dan menutup sejarah lompat parti beliau dengan pembohongan terang-terangan.
Philip berkata, tindakan Justin Wong yang berbohong tanpa rasa malu jelas menunjukkan sifat beliau yang cenderung kepada penipuan. Beliau menyeru pengundi agar menilai watak sebenar Justin Wong sebelum membuat pilihan.
Menurut Philip, dakwaan Justin Wong dalam sebuah video baru-baru ini bahawa beliau meninggalkan PH kerana PH mahu menyertai kerajaan negeri GRS adalah penuh percanggahan, logik terbalik, dan langsung tidak selaras dengan fakta sebenar.
“Jika seorang ahli politik sanggup mereka-reka garis masa, bagaimana kita boleh mengharapkan dia bercakap benar?” tegas Philip.
Philip menjelaskan fakta sebenar, iaitu Justin Wong mengumumkan keluar DAP Sabah pada 20 Januari 2022.
“PH hanya menyertai kerajaan Sabah selepas kegagalan “Operasi Kota Kinabalu” pada 5 Januari 2023.Jarak masa hampir setahun membuktikan dakwaan beliau direka-reka.”
Philip menegaskan “salah tetap salah”, Justin Wong seharusnya tampil berterus terang dan memohon maaf, bukan mereka-reka alasan untuk menipu pengundi.
“Rakyat Tawau tidak buta. Mereka paling tahu siapa yang benar-benar bekerja, dan siapa yang hilang entah ke mana.”
Beliau menambah, selepas Justin Wong lompat parti, segala masalah dan beban kerja yang ditinggalkan dipikul sepenuhnya oleh pasukan DAP Tawau.
Philip berkata, kaunter khidmat setiap Ahad di Pasar Sin On, program komuniti & sambutan budaya, menyelesaikan setiap masalah rakyat dan mendengar setiap suara, menonjolkan DAP Tawau tidak pernah meninggalkan pengundi Tawau.
“Kami tidak patah semangat. Malah, tindakan beliau menjadikan kami lebih teguh. Ahli politik sebenar bukan muncul sebelum pilihan raya dan hilang selepas menang. Tiada drama, tiada bersembunyi, sentiasa turun padang, inilah kepimpinan sebenar!” tegasnya.-pr/BNN





