KOTA KINABALU: Pola Pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17. Menerusi kajian akhir ILHAM Centre mengenai sikap dan pola pengundian rakyat Sabah mendapati GRS masih mendapat sokongan yang mencukupi bagi menjadi parti untuk mengetuai perundingan bersama parti-parti lokal dan calon bebas boleh melepasi garis majoriti mudah menubuhkan kerajaan.

Faktor yang memberikan kelebihan GRS berbanding parti lain ialah keuntungan sebagai penyandang; imej sederhana Hajiji Haji Noor boleh diterima rentas kepimpinan parti lain; mengekalkan sokongan di kawasan pantai barat kubu kuat GRS; kempen yang membawa naratif kestabilan dan tenang menarik perhatian pengundi.

Atas faktor-faktor berikut, GRS dijangka memperolehi sekitar 26 kerusi daripada 55 kerusi yang ditandingi menjadikan parti yang meraih jumlah terbesar kerusi selamat berbanding parti lain.

Ini menjadikan GRS akan membuka pintu rundingan dengan parti-parti lain mahupun calon bebas yang menang untuk mengukuhkan majoriti.

Pengundi Sabah Sangat Berorentasikan Calon (Candidate Centric).

Berbanding jenama parti dan isu semasa, pengundi kali ini lebih cenderung memberi undi berdasarkan calon yang bertanding.

Dengan kata lain, faktor calon jauh meninggalkan faktor parti dan faktor isu, sertas rentas semua segmentasi demografi dan geografi.

Antara yang paling diberi perhatian oleh pengundi adalah prestasi kerja seseorang calon memberi khidmat kepada komuniti setempat, iaitu dalam kawasan DUN yang mereka bertanding.

Calon yang menunjuk rekod baik secara berterusan sejak sekian lama adalah pilihan utama pengundi, berbanding yang hanya muncul secara bermusim khususnya ketika pilihan raya.

Tiga ciri calon yang paling mendapat tempat dalam kalangan pengundi adalah pemimpin yang prihatin kebajikan rakyat, telah mempamer dan membuktikan prestasi kerja yang cemerlang, serta rajin turun padang bertemu rakyat.

Ciri-ciri ini memberikan kelebihan kepada penyandang.Manakala citra pilihan sebahagian anak muda berbeza dengan pilihan ‘mainstream’.

Tarikan utama mereka ialah calon-calon yang memiliki ciri seperti muka baru atau calon muda;penampilan dan pesona menarik; dan aktif di media sosial.

Sebahagian DUN terutama di kawasan Kadazandusun Murut (KDM), tingkah laku mereka sangat bersifat lokal. Pola undi lebih tertumpu kepada tokoh berpengaruh etnik mereka; parti yang secara tradisi dikaitkan dengan kawasan berkenaan; dan jaringan kekeluargaan yang besar memainkan peranan.

Tambunan sinonim dengan STAR, Kadamaian utuh bersama UPKO dan Kundasang kekal sentimental bersama PBS.

Naratif Hak Sabah Pemacu Emosi Paling Kuat

Sepanjang kempen berlangsung, isu yang berkait dengan kepentingan hak Sabah seperti 40 peratus hasil hak Sabah; pelaksanaan MA63; autonomi negeri dan maruah serta identiti Sabah muncul menjadi naratif tumpuan hampir semua parti dan calon.

Tema kempen – Rumah Kita, Kita Jaga, Selamatkan Sabah, Bikin Balik Sabah, Sabah for Sabahan, Sabah First, Justice for Sabah, Kasi Bagus Sabah – membentuk 77 peratus pengundi yang terlibat dalam kajian ini menyokong tema yang dibawa ini.

Naratif ini menjadi nadi kempen dan pemangkin sokongan semua parti lokal yang bertanding.

Selain isu-isu berkenaan, isu ekonomi dan perkhidmatan asas tetap relevan. Pengundi juga memberi perhatian isu berkait kos sara hidup, masalah air, catuan elektrik, infrastruktur daif, peluang pekerjaan anak muda dan isu integriti.

Namun semua isu-isu ini tetap berada di bawah dominasi emosi naratif pro Sabah.

Angin Perubahan Cina

Kajian ini mencerap angin perubahan dan ‘swing mood’ yang ketara dalam kalangan pengundi Cina dan pengundi KDM bandar seperti di Likas, Inanam, Luyang, Kapayan dan Api-Api.

Mereka ini merupakan kelompok yang sangat terdedah kepada sumber maklumat pantas melalui media sosial membentuk pola penolakan terhadap pengaruh parti dari semenanjung.

‘Mood’ protes dan kecewa boleh dilihat pada kempen PH di kawasan bandar begitu hambardan tidak mendapat sambutan pengundi Cina berbanding PRN sebelum ini.

Sekiranya gelombang protes ini membesar dengan peratus yang signifikan, kerusi Inanam, ApiApi milik PKR mungkin bertukar tangan. Likas, Luyang dan Kapayan milik DAP berada di hujung tanduk.

Kempen mewah PH dan khususnya DAP dengan ‘billboard’ gergasi mengundang penolakan secara halus dalam komuniti Cina. Angin perubahan ini menguntungkan WARISAN yang menerima limpahan penolakan terhadap PH.

Kekecewaan terhadap isu berkait ekonomi seperti pelaksanaan SST, kenaikan harga barang tidak terkawal, isu integriti melibatkan rasuah, MA63 menjadi tema penolakan terhadap PH.

Arah Pengundi Muda

ILHAM memberi tumpuan rapat terhadap pola pengundian anak muda Sabah. Ini kerana menerusi kajian awal kami mendapati 43 peratus pengundi yang belum membuat keputusan, majoritinya daripada segmen ini.

Secara teorinya, sekiranya kelompok anak muda ini, menyokong secara ‘en-bloc’ mana-mana parti mahupun calon ianya akan memberikan perubahan status quo di DUN mahupun boleh mengubah kerajaan negeri.

Namun sepanjang kajian akhir dilakukan, dapatan kajian mengesahkan pola pengundian anak muda ini berlaku secara berterabur (scattered).

16 peratus menyatakan mereka belum menetapkan pilihan sehingga hari mengundi. Ini menzahirkan tiada gelombang yang membadai segmen ini secara menyeluruh.

Ada yang memilih kerana calon yang berpenampilan menarik, ada yang mengundi mengikut pilihan ibu bapa dan rakan. Yang menariknya segmen ini sangat teruja untuk keluar mengundi hanya kerana untuk memperlihat celupan jari bertanda biru di akaun medsos mereka.

Faktor Parti Memiliki Kekuatan Tersendiri

Walaupun data menunjukkan kekuatan parti tidak besar berbanding faktor calon, tetapi sebahagian DUN faktor parti ini mempunyai impak yang signifikan.

Melalui data kajian ini, kekuatan sebenar GRS ialah kepada penyandang dan imej Hajiji Haji Noor berbanding logo parti itu sendiri. Selain itu GRS berjaya memanfaatkan sumber mereka untuk menggerakkan jentera secara berkesan dan sekata di semua DUN yang ditandingi oleh mereka.

Kempen GRS defensif tetapi lebih tersusun. Mesej kempen mereka konsisten, kesinambungan pembangunan dan kestabilan. Mereka menonjolkan imej Hajiji Haji Noor sebagai ‘steady’ dan ‘realiable’. Ini diakui dalam kajian kami populariti Hajiji membantu melonjakkan peluang kemenangan GRS.

GRS bijak dengan memanfaatkan kelebihan penyandang bagi mengekalkan kerusi. ‘Mood’kempen defensif lebih stabil dalam pilihan raya yang melibatkan pertandingan berbilang penjuru.

WARISAN berusaha membina momentum ketika fasa awal kempen namun tidak mencukupiuntuk mencipta gelombang besar rentas wilayah. Parti ini kelihatan masih kukuh di jajaran pantai timur, dalam masa yang sama melebarkan pengaruh di kawasan KDM dan bandar.

Namun dengan bertanding secara solo di 73 kerusi, ianya memberikan liabiliti kepada jentera dan melibatkan sumber yang besar untuk menggerakkan gelombang.

Untungnya, WARISAN mungkin memperolehi undi protes dalam kalangan pengundi bandar, untuk menolak PH. Sebahagian DUN yang WARISAN bertanding berpotensi mendapat laba daripada pertembungan banyak penjuru dan sengit antara GRS, PH dan BN.

BN berusaha keras untuk menampilkan mereka masih relevan dalam landskap politik Sabah. Namun sepanjang kempen kami mendapati BN hanya tertumpu di DUN-DUN tertentu dan tidak membawa impak menyeluruh ke pelosok negeri Sabah.

Tema kempen BN tidak melekat dan mendekat di hati pengundi. Mesej yang tidak bersepadumenyebabkan BN lebih tertumpu kepada kekuatan jentera mereka untuk membantuk calon di kawasan masing-masing.

Kempen BN kelihatan mewah dengan menampilkan artis-artis untuk menarik pengundi kepada mereka. Secara keseluruhannya, imej kempen BN tidak berjaya membawa keyakinan pengundi untuk mengangkat kembali parti yang pernah memimpin Sabah.

PH berdepan tekanan untuk mengekalkan kerusi sedia ada dengan angin perubahan Cina. Impak ini akan terkena kepada dua kerusi PKR iaitu Inanam dan Api-Api.

Strategi PKR meletakkan calon payung terjun di Merotai, calon pinjam di Sindumin dan Melalap serta lambakan program bantuan dari agensi kerajaan pusat, tidak menjamin kerusi berkenaan boleh menang.

PN sebuah parti yang menggunakan logo parti mereka pertama kali di Sabah pada 2020 dan menang, kini masih mencari kekuatan untuk bangkit setelah ranap.

Selepas hampir keseluruhan kerusi yang dimenangi keluar PN dan membentuk GRS, tiada usaha oleh kepimpinan PN negeri untuk membina semula kekuatan bagi menghadapi PRN kali ini.

Dek kerana pertembungan dalaman BERSATU di peringkat pusat, PN Sabah kelihatan tidak bersedia secara struktural untuk menyusun kekuatan jentera dan memilih calon yang kompeten. Kesannya, PN terkial-kial mencari rentak untuk bersaing dengan parti-parti lain yang lebih bersedia mengadapi PRN ini.

Akhirnya, PN hanya berharap kepada Sugut dan Karambunai untuk menyumbang kerusi. Itupun di atas faktor calon yang berpotensi untuk menang.

Parti bagi kawasan etnik KDM melibatkan pertembungan yang paling meriah. Parti ‘anchor’bagi kawasan KDM lebih tertumpu kepada PBS (GRS), STAR dan UPKO.

Kemunculan parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) cuba memecahkan dominasiparti-parti ‘anchor’ ini tetapi masih belum cukup matang untuk diterima oleh pengundi etnik KDM.

Black Wave Yang Tiada Gelombang & Calon Bebas Pemecah Undi

Gabungan calon bebas yang dijenamakan di bawah panji Gelombang Hitam atau “Black Wave”bermula dengan lebih awal dengan mengenal pasti calon-calon tanpa parti untuk bersama mereka.

Calon-calon ini sebenarnya telah bekerja di kawasan masing-masing dan Black Wave telah memberikan ‘watikah’ 17 calon yang bersama mereka. Keseluruhan calon bebas dalam PRN kali ini ialah 74 calon, selain calon Black Wave, mereka tampil dengan kekuatan masingmasing.

Calon bebas yang lain, sebahagiannya yang kecewa tidak terpilih mewakili parti bertindak keluar menjadi calon bebas. Antaranya ialah DUN Bandau iaitu Maijol Mahap, DUN Pintasan Fairuz Renddan yang dahulunya daripada GRS.

Calon Sebatik, Husni Frans memilih lambang traktor mencabar parti lamanya WARISAN setelah tidak terpilih menjadi calon.

Berdasarkan dapatan kajian, calon-calon bebas yang boleh tampil sebagai pemenang mengalahkan parti dan calon yang lain ialah kerana kekuatan pengaruh dan sumbangan yang dikenang oleh pengundi.

Isu Pro Sabah Lebih ‘Menggigit’ Berbanding Isu Nasional

Kajian kami mendapati fenomena ‘Justice for Zara’ yang memuncak pada Julai dan Ogos lalu sudah mereda dan tidak lagi mempengaruhi pola pengundian di Sabah.

Begitu juga isu skandal rasuah kerajaan negeri, ia tidak menjadi fokus utama kerana naratifnya tidak digerakkan secara bersepadu terhadap GRS. Pemencaran naratif kempen akhirnya mengalihkan perhatian pengundi kepada isu pro Sabah yang lebih menarik perhatian mereka.

Sebahagian besar parti menumpukan tiga tema utama: pembangunan dan kesejahteraan, tuntutan hak negeri, serta rekod pentadbiran kerajaan. Isu asas seperti jalan, air, elektrik, ekonomi dan pekerjaan menjadi tumpuan semua calon, diikuti isu MA63 dan tuntutan 40 peratus hasil cukai.

Rekod pentadbiran penggal lalu turut dijadikan bahan kempen daripada pelbagai sudut.

Secara keseluruhan, pengundi lebih memberi perhatian kepada isu yang dekat dengan kehidupan mereka; kemudahan asas, ekonomi, pekerjaan dan hak Sabah dalam Persekutuan.

Untuk PRN 2025, isu lokal serta isu nasional yang berkaitan dengan kepentingan lokal lebih dominan, manakala isu nasional lain kurang menarik minat pengundi.

Parti Nasional vs Parti Lokal

PRN ini turut menimbulkan perdebatan hangat berkaitan parti tempatan dan parti nasional yang bertanding dalam PRN kali ini.

Parti lokal berhujah mereka lebih layak dipilih kerana memiliki semangat lebih tulen, serta lebih jujur untuk memperjuang agenda rakyat Sabah.

Manakala parti nasional turut menekankan elemen kestabilan, dengan menghujah bahawa pilihan terbaik untuk Sabah adalah memilih kerajaan yang menjalin hubungan matang dengan kerajaan pusat dengan semangat persekutuan yang baik.

Menyoroti isu ini, pendirian pengundi terbahagi kepada dua kelompok utama. Kelompok pertama khususnya yang berada di kawasan luar bandar dengan tahap sosio-ekonomi sederhana dan ke bawah, mereka lebih cenderung terhadap parti lokal.

Dengan semangat Sabahan yang kuat, mereka lebih percaya terhadap parti bernuansa setempat untuk menentukan nasib mereka bagi tempoh lima tahun mendatang.

Manakala kelompok kedua khususnya yang berada di kawasan bandar dengan tahap sosioekonomi sederhana dan ke atas, mereka lebih cenderung kepada parti lokal yang bekerjasama dengan parti nasional.

Kelompok ini percaya bahawa dalam sistem ekonomi dan pentadbiran moden, kerjasama pintar antara dua segmen ini adalah pilihan terbaik untuk kelangsungan Sabah.

Ringkasnya sama ada parti lokal semata-mata atau parti lokal yang bekerjasama dengan parti nasional mempunyai kelebihan untuk dipilih oleh pengundi.

Selari dengan kriteria tersebut, dua parti paling popular dalam kalangan pengundi adalah GRS dan WARISAN.

Hajiji vs Shafie

Siapa bakal Ketua Menteri Sabah pasca PRN kali ini turut jadi bualan dalam kalangan pengundi. Ini kerana prestasi KM akan jadi faktor penentu kejayaan dan keberkesanan kerajaan negeri nanti.

Tinjauan dalam kalangan pengundi mendapati beberapa nama diletak harapan untuk jadi KM Sabah selepas 29 November ini. Daripada nama-nama tersebut, calon paling popular adalah Hajiji Haji Noor, diikuti Shafie Apdal.

Dua calon ini yang mendominasi sokongan, jauh meninggalkan nama-nama lain.Antara faktor populariti Hajiji adalah kerana secara umumnya sekitar 63 peratus pengundi yang dikaji berpuas hati terhadap prestasi kerajaan negeri yang dipimpin oleh beliau, dalam masa sama 62 peratus turut berpuas hati terhadap prestasi beliau sebagai Ketua Menteri.

Watak tenang Hajiji berjaya mengatasi gelora yang menguji kepimpinan kerajaan negeri dan membawa kestabilan sehingga tamat penggal pentadbiran.

Shafie pula mempunyai kelebihan karisma dan orator yang baik serta berjaya memimpin WARISAN untuk mengugat kubu lawan sepanjang kempen berlangsung.

Watak kontras dua figura ini mewarnai sebahagian besar penilaian pengundi terhadap calon Ketua Menteri. Hajiji dilihat lebih berpeluang menyatukan ketua-ketua parti pasca keputusan nanti.

Prediksi Akhir

Kami merumuskan prediksi ini bersandarkan kepada gabungan metodologi menerusi dapatan survei dan perbincangan kumpulan fokus (FGD) dalam kalangan semua segmentasi pengundiuntuk memahami nilai dan makna di sebalik angka.

Di samping itu dikukuhkan dengan siri temubual mendalam (in-depth interview) dalam kalangan ahli akademik terutama daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan UiTM Sabah, disilang semak dengan data-data pilihan raya terdahulu dan analisis sentimen di ruang maya.

Kami membahagikan kerusi kepada tiga kategori iaitu kerusi yang jelas pemenang (clear winner) dengan segala faktor-faktor yang dinyatakan di atas.

Kedua, kerusi yang berlaku persaingan sengit tetapi lebih jelas memihak kepada calon dan parti tertentu.

Terakhir, kerusi yang sangat sengit dan sukar dianalisis sehingga saat-saat akhir atas pelbagai pemboleh ubah yang sangat rencam.

Berdasarkan kriteria yang dinyatakan di atas, GRS dengan faktor-faktor kelebihan yang ada, boleh merangkul sekurang-kurangnya 26 kerusi.

Penyumbang terbesar ialah kerusi penyandang dominan seperti Sulaman, Karanaan, Kuala Penyu, Membakut dan seumpamanya.

WARISAN selesa dengan 6 kerusi kubu kuat mereka terutama di pantai timur, berpotensi menggandakan angka ini kepada 14 kerusi sekiranya ayunan (swing) undi berlaku di kerusi bandar dan kerusi sengit.

BN dijangka memperolehi 9 kerusi. Sekiranya berjaya menawan kerusi tambahan kategori DUN sengit, itu adalah kerusi bonus kepada BN. PH pula hanya ada 4 kerusi selesa setakat ini.

Manakala terdapat 13 kerusi sengit yang terbuka kepada semua calon untuk dimenangi. Antara 13 kerusi sengit ini, PN hanya berpotensi di dua kerusi iaitu Karambunai dan Sugut.

Sekiranya gagal mengutip sebarang kerusi ini, ianya akan menjadi tamparan hebat kepada PNuntuk melakukan ‘wake-up call’ selepas PRN-17 ini.

Situasi DUN tergantung masih boleh distabilkan oleh GRS dengan peluang menambah kerusi melalui kawasan sengit, kerjasama PH, serta rundingan bersama parti-parti lokal dan calon bebas.

Selain itu faktor yang tidak boleh dipandang rendah ialah peratusan keluar mengundi. Semakin rendah keluar mengundi, ianya akan menguntungkan parti penyandang.

Dengan faktor dibincangkan di atas, kami menjangkakan sebahagian besar pengundi luar tidak akan pulang mengundi.-

Latar Belakang Kajian

Untuk mendapat gambaran perjalanan keseluruhan pilihan raya negeri (PRN) ini serta sikap, tingkah laku dan pola kecenderungan pengundi akhir; ILHAM Centre telah melaksanakan kajian lapangan bermula 15 November sehingga 27 November 2025 yang melibatkan dua metodologi utama iaitu kuantitatif iaitu kaji selidik secara tatap muka di lapangan menggunakan kaji selidik dan protokol temu bual separa berstruktur manakala kualitatif – perbincangan kumpulan fokus (FGD) serta temu bual mendalam (in-dept interview).

Seramai 1,500 responden telah ditemui di lapangan merangkumi semua segmentasi pengundi.FGD melibatkan 5 kumpulan (20 informan) dan temu bual mendalam (12 informan).

Proses pengumpulan data kuantitatif dan kualitatif ini merangkumi enam wilayah iaitu Utara, Tengah, Pantai Barat, Pedalaman, Pantai Timur Atas dan Pantai Timur Bawah dengan kaedah persampelan rawak berstrata meliputi semua segmentasi kaum, jantina, umur, latar belakang ekonomi, tahap pendidikan yang pelbagai, julat pendapatan, pekerjaan dan lokaliti yang berbeza.Ralat kajian yang ditemui ialah 2.5 peratus. Data kajian dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik.-pr/BNN