KENINGAU: Dato’ Ishak Datuk Ayub (DIDA) daripada STAR Sabah mencatat kemenangan bergaya di DUN N.40 Bingkor selepas meraih 9,346 undi, menewaskan pencabarnya daripada GRS, Rafie Datuk Robert, yang memperoleh 3,919 undi, sekali gus merekodkan majoriti besar 5,427 undi — antara yang tertinggi dalam PRU Sabah ke-17.

Sejurus keputusan rasmi diumumkan, DIDA menzahirkan penghargaan mendalam kepada rakyat Bingkor yang menjadi tunjang utama kejayaan beliau.

“Ini kemenangan rakyat Bingkor. Kepercayaan dan komitmen anda adalah pemacu utama kejayaan ini,” katanya.

Beliau menegaskan kemenangan itu bukan sekadar angka, tetapi mencerminkan keyakinan rakyat terhadap hala tuju pembangunan yang stabil, inklusif dan berasaskan tindakan nyata.

DIDA turut berterima kasih kepada kedua ibu bapanya atas doa dan restu, selain mengiktiraf peranan penyokong, jentera parti, keluarga, saudara-mara serta rakan-rakan yang tidak pernah berhenti memberi dorongan sepanjang tempoh kempen.

Beliau dalam pada itu menyeru rakyat supaya terus bersama-sama membangunkan Bingkor melalui kerjasama komuniti, penglibatan aktif belia serta komitmen berterusan dalam kerja lapangan.-pr/BNN