KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yakin setiap ahli Jemaah Menteri yang telah dilantik memiliki pengalaman dan kemampuan untuk memimpin kementerian masing-masing ke arah kemajuan lebih cemerlang bagi negeri Sabah.
Beliau berkata, kabinet baharu turut perlu memastikan kesinambungan pelaksanaan program pembangunan seperti yang dirancang di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Merakamkan ucapan tahniah kepada semua menteri yang baharu dilantik, Hajiji mengingatkan bahawa tanggungjawab yang dipikul amat besar dan perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi serta integriti.
Katanya, para menteri harus berkhidmat kepada seluruh rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang, selain memastikan amanah yang diberikan ditunaikan sepenuhnya.
Hajiji berkata demikian pada sidang media di Sri Gaya petang ini, selepas upacara angkat sumpah Jemaah Menteri baharu Negeri Sabah yang diadakan di Istana Seri Kinabalu.
Teks sidang media beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.
Menurutnya, majlis tersebut membawa makna besar kerana ia memperkukuh iltizam kerajaan negeri untuk terus berkhidmat demi kepentingan rakyat dan masa depan Sabah.
Dalam sidang media sama, beliau turut mengumumkan senarai penuh Jemaah Menteri yang dilantik dalam Kabinet baharu.
Barisan kepimpinan itu terdiri daripada:
Ketua Menteri: YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor (GRS).
Timbalan Ketua Menteri (TKM):
TKM 1: Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam (GRS).
TKM 2: Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (GRS).
TKM 3: Datuk Ewon Benedick (UPKO).
Menteri Kerja Raya dan Utiliti: Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam (GRS)
Menteri Kewangan: Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (GRS)
Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan: Datuk Ewon Benedick (UPKO)
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan:Datuk Arifin Arif (GRS)
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan: Datuk Jamawi Jaafar (PH)
Menteri Pembangunan Luar Bandar: Datuk Rubin Balang (GRS)
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi: Datuk James Ratib (GRS)
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar: Datuk Jafry Ariffin (BN)
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat: Datuk Julita Mojungki (GRS)
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif: Datuk Nizam Titingan (GRS). – pr/BNN




