KOTA KINABALU: Penyokong serta pendokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diseru untuk berlapang dada dan menerima kemasukan Barisan Nasional (BN) ke dalam kerajaan negeri sebagai langkah ke arah memastikan kestabilan politik demi kepentingan rakyat.

Aktivis politik pro-GRS, Aksyah Haji Nasrah, berkata keputusan yang diumumkan kelmarin perlu dilihat dari sudut yang lebih besar iaitu kesinambungan pembangunan serta pencapaian agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Menurutnya, ramai penyokong GRS masih terasa dengan serangan politik sepanjang kempen PRU DUN Sabah Ke-17, termasuk daripada parti lawan seperti BN.

Namun, katanya, kemenangan GRS adalah hasil doa dan harapan rakyat yang mahukan kerajaan dipimpin gabungan itu terus stabil.

“Syukur pada Allah. Kemenangan yang kita doa-doakan telah dikurniakan kepada GRS. Sekarang masa untuk bekerja dan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.

Aksyah menegaskan bahawa penyokong GRS tidak perlu gusar dengan keputusan pimpinan tertinggi, termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, untuk menerima BN sebagai rakan pentadbiran.

“Kita sokong keputusan Hajiji. BN tidak meminta lebih daripada yang wajar. Yang penting, kestabilan politik Sabah terjamin,” katanya.

Beliau menambah, sebarang perasaan terluka atau tersinggung ketika kempen lalu perlu diketepikan demi fokus kepada agenda pembangunan negeri.

Mengambil analogi Perang Dunia Kedua, Aksyah berkata kemajuan negara seperti Jepun terletak pada kemampuan mereka melepaskan rasa dendam terhadap peristiwa lampau.

“Kalau Jepun terus berdendam, mereka tidak akan maju seperti hari ini. Begitu juga kita. Sabah adalah amanah yang mesti dijaga, bukan medan membalas luka politik,” katanya.

Jelasnya, lima tahun kejayaan GRS sebelum ini menjadi sandaran utama rakyat memilih gabungan tersebut sekali lagi untuk menerajui negeri.

“GRS kini menjadi tulang belakang kerajaan Sabah. Inilah cita-cita kita semua dan Allah telah memakbulkannya,” katanya sambil menegaskan bahawa Hajiji adalah pemimpin berjiwa besar yang sanggup mengenepikan perasaan peribadi demi kestabilan rakyat.

“Jangan kerana nyamuk seekor, rumah dibakar”, katanya.

Aksyah menyeru seluruh akar umbi dan penyokong GRS untuk terus mempertahankan perpaduan gabungan itu demi masa depan negeri.

“Ayuh kita bantu beliau (Hajiji), kita sokong beliau. Jangan kerana marah pada perkara kecil, keseluruhan perjuangan kita musnah. Kita pertahankan rumah kita — Sabah,” katanya. – pr/BNN