KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengarahkan 18 Setiausaha Politik yang baharu dilantik supaya memastikan maklumat mengenai inisiatif dan dasar Kerajaan Negeri sampai ke peringkat akar umbi.

“Peranan setiausaha politik amat penting dalam sistem pentadbiran kita. Saya mahu semua setiausaha politik membantu kerajaan dan menteri masing-masing, khususnya dalam menyebarluaskan dasar-dasar kerajaan.

“Yang penting, dalam menyampaikan maklumat mengenai Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 yang akan bermula tahun hadapan,” katanya pada majlis angkat sumpah 18 Setiausaha Politik di Menara Kinabalu, di sini hari ini.

Beliau mengimbas kembali bahawa pada Pilihan Raya Negeri lalu, kebanyakan rakyat yang ditemuinya tidak mengetahui inisiatif dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan, walaupun ia telah dihebahkan secara meluas di semua platform media.

Katanya, isu seperti pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) oleh Kerajaan Negeri sebelum ini serta hakikat bahawa 39 pemegang sijil tersebut telah dianugerahkan biasiswa kerajaan, juga tidak diketahui oleh masyarakat Cina.

“Saya terkejut apabila ramai dalam kalangan masyarakat Cina tidak mengetahui apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri walaupun pelbagai bantuan telah disalurkan kepada sekolahsekolah Cina dan badan keagamaan bukan Islam.

“Saya juga hairan mengapa mereka tidak mengetahui bantuan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Sabah sebelum ini.

Kerajaan Negeri (diterajui GRS) telah memperuntukkan lebih RM1.3 bilion bagi pendidikan dan pembangunan modal insan,” katanya.

Bantuan lain termasuk pemberian komputer riba percuma, bayaran yuran pendaftaran kemasukan universiti secara sekali bayar, subsidi kepada pelajar universiti sama ada di dalam negeri atau di Semenanjung Malaysia untuk pulang ke kampung halaman semasa cuti, bantuan kepada calon yang menduduki peperiksaan SPM setiap tahun, 40 unit Rumah Mesra SMJ yang akan ditingkatkan kepada 50 unit bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri, serta pelbagai lagi inisiatif untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Semua ini tidak pernah dilaksanakan sebelum ini. Oleh itu, saya mahu setiausaha politik memainkan peranan masing-masing dalam menyampaikan maklumat ini kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“Kita mahu rakyat mendapat maklumat yang tepat mengenai inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri supaya tidak timbul tuduhan bahawa kita hanya menabur janji kosong,” katanya.

Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbangkan permintaan Ahli Dewan Undangan pembangkang untuk mendapat bantuan peruntukan pengurusan pejabat.

“Kita sebagai Kerajaan yang adil akan mempertimbangkan tertakluk kepada budi bicara Menteri Kewangan,” katanya.

Hajiji turut mengingatkan setiausaha politik supaya tidak menyalahgunakan kedudukan mereka untuk kepentingan peribadi.

“Saya mahu setiausaha politik melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya serta membantu menteri masing-masing dan kerajaan.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati mengkhianati kepercayaan yang diberikan,” katanya sambil menambah bahawa mereka perlu bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan semua dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Setiausaha Politik baharu di Jabatan Ketua Menteri ialah Azrul Ibrahim (Setiausaha Politik Kanan), Datuk Effendi Mohamed Sunoh, Datuk Mazlan @ Joehari Manan, Datuk Arthur Sen, Datuk Norazlinah Arif, Datuk Lahirul Latigu, Noorazmahirah Noorzain dan Mohd Isquzawan Israq Arsit.Setiausaha politik lain ialah Dr Bonaventure Boniface (Kementerian Kerja Raya dan Utiliti), Johari @ Joe Suhaimin (Kementerian Kewangan), Carlyle Lajimin (Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan), Abd Wahid Abd Razak (Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan), Justinus Jalang (Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi), M. Aziriansyah Ali (Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif), Sabili Ahunang (Kementerian Pembangunan Luar Bandar), Marius Masain (Kementerian Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat), Datuk Raimie Unggi (Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar) dan Herbert Roger (Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan).-pr/BNN