KOTA KINABALU: Bilangan penduduk bukan warganegara di Sabah pada tahun 2025 mencatatkan penurunan sebanyak 0.32 peratus kepada 1.04 juta orang berbanding 1.043 juta orang pada tahun 2024.

Menurut Statistik Migrasi Antarabangsa 2025 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 24 Disember lalu, Sabah terus merekodkan bilangan penduduk bukan warganegara tertinggi berbanding negeri-negeri lain sejak 1991.

Peratusan penduduk bukan warganegara tertinggi pernah direkodkan pada 1991 iaitu 56.5 peratus atau seramai 453,470 orang, manakala jumlah tertinggi dicatatkan pada 2018 dengan 1.16 juta orang. Anggaran bagi 2025 menunjukkan jumlah tersebut masih lebih rendah berbanding paras tertinggi sebelum ini.

DOSM turut melaporkan tempoh 2020 hingga 2022 memperlihatkan perubahan ketara dalam struktur penduduk susulan pandemik COVID-19, dengan penurunan bilangan penduduk bukan warganegara di Malaysia kepada 2.56 juta orang dan di Sabah kepada 0.78 juta orang pada 2021.

Bagi tahun 2025, Sandakan mencatatkan bilangan penduduk bukan warganegara tertinggi iaitu 195,100 orang, diikuti Tawau (142,900 orang) dan Kota Kinabalu (125,400 orang). Dari segi komposisi penduduk, Kinabatangan merekodkan peratusan tertinggi penduduk bukan warganegara iaitu 72.9 peratus, diikuti Kalabakan (69.3 peratus) dan Kunak (53.4 peratus).

Kota Kinabalu pula merekodkan kadar pertumbuhan tahunan penduduk bukan warganegara sebanyak 2.9 peratus pada 2025 berbanding 16.4 peratus pada 2024. Peningkatan ini didorong oleh pemulihan pasca pandemik, khususnya pembukaan semula sektor ekonomi dan pendidikan yang menyaksikan kemasukan tenaga kerja serta pelajar antarabangsa.

Bagaimanapun, jumlah penduduk bukan warganegara di ibu negeri itu masih lebih rendah berbanding 144,700 orang yang direkodkan pada 2018.

Anggaran penduduk bukan warganegara bagi 2025 disusun berdasarkan anggaran pertengahan tahun bagi tempoh Julai 2024 hingga Jun 2025, berasaskan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 menggunakan konsep de jure, iaitu individu yang menetap sekurang-kurangnya enam bulan di tempat tinggal biasa mereka.

DOSM turut menjelaskan bahawa anggaran ini tidak mengambil kira daytime dan nighttime population, iaitu individu yang berada sementara di sesuatu kawasan tanpa menetap, termasuk bagi tujuan pekerjaan, perniagaan, pendidikan, urusan rasmi, pelancongan dan lawatan sosial.-BNN