KINABATANGAN: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 446 kertas undi pos kepada individu yang layak mengundi secara pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.187 Kinabatangan dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag, Sabah.
Menurut SPR, pengeluaran kertas undi pos tersebut dilaksanakan pada 12 Januari 2026 (Isnin) oleh petugas pilihan raya yang dilantik oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, dengan kehadiran ejen undi pos daripada calon-calon yang bertanding.
Bagi PRK Parlimen P.187 Kinabatangan, sebanyak 251 kertas undi pos telah dikeluarkan, terdiri daripada 203 undi pos Kategori 1A (Petugas Pilihan Raya, Anggota Polis dan Petugas Media) serta 48 undi pos Kategori 1C melibatkan agensi dan organisasi.
Sementara itu, bagi PRK DUN N.58 Lamag, SPR mengeluarkan 195 kertas undi pos, merangkumi 155 undi pos Kategori 1A dan 40 undi pos Kategori 1C.
SPR mengingatkan semua pengundi pos supaya menandakan kertas undi dengan betul, melengkapkan Borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) dengan sempurna serta mengembalikan undi pos kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya masing-masing sebelum jam 5.00 petang pada Hari Mengundi, iaitu 24 Januari 2026 (Sabtu).
Dalam pada itu, pengundi pos turut diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi dengan tidak merakam gambar kertas undi pos atau menyebarkannya di media sosial.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril bin Idrus, bertarikh 12 Januari 2026 bersamaan 22 Rejab 1447 Hijrah.-BNN





