KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sedang dalam usaha memperkukuhkan Mahkamah Anak Negeri dengan bidang kuasa yang jelas dan mencukupi, struktur institusi yang mantap, pegawai yang berintegriti dan berwibawa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata ini ternasuklah prosedur yang moden, teratur dan berkesan.

Justeru katanya, pada tahun ini juga, kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah diperuntukkan sebanyak RM84.40 juta untuk Perbelanjaan mengurus dan melaksanakan pelbagai program demi memastikan kebajikan dan adat resam anak negeri terus terpelihara.

“Daripada jumlah peruntukan tersebut, sebanyak RM69.98 juta adalah perbelanjaan bayaran elaun dan pentadbiran untuk Ketua-Ketua Adat Negeri.

“Sementara itu, RM2.70 juta diperuntukkan untuk meneruskan projek pembinaan Mahkamah Anak Negeri di Tamparuli, Sook dan Paitan,” katanya ketika merasmikan Seminar “Empowering Native Justice – The Way Forward” di sini pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.

Ketua Menteri berkata, perundangan yang mentadbir adat anak negeri wajar dikaji dan diperkemas selaras dengan keadaan dan kehendak semasa.

Beliau berkata terdapat undang-undang berkaitan anak negeri yang digubal sejak zaman kolonial lagi dan haruslah disemak dan diperbaiki.

“Undang-undang itu lahir dalam suasana dan realiti yang sangat berbeza daripada kehidupan kita hari ini. Hari ini, Sabah telah berubah. Masyarakat kita telah berubah.

“Nilai ekonomi, struktur sosial dan cabaran kehidupan telah berubah dengan begitu pantas. Maka undang-undang juga mesti berubah, bukan untuk menafikan adat dan warisan, tetapi untuk memastikan keadilan itu terus relevan dan berfungsi.

Justeru, saya berharap seminar ini menjadi medan perbincangan yang berani, jujur dan berpaksikan kepentingan Sabah, demi mencari jalan penyelesaian yang adil dan menyeluruh,” katanya.

Katanya, usaha memperkukuhkan undang-undang dan sistem keadilan anak negeri bukanlah langkah ke belakang.

“Sebaliknya, inilah langkah ke hadapan – langkah berani untuk memastikan Sabah melangkah ke masa depan tanpa mengorbankan jati diri dan warisannya,” katanya.

Beliau berkata program ini amat bermakna dan signifikan kepada masa depan rakyat Sabah, khususnya anak-anak negeri.

“Sabah adalah negeri yang kaya dengan adat, identiti dan budaya anak negeri yang berakar umbi sejak turun-temurun.-pr/BNN