KENINGAU: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penetapan kemasukan prasekolah pada usia lima tahun dan Darjah Satu pada usia enam tahun bermula 2027 disambut baik, sekali gus dilihat selari dengan keperluan pendidikan awal kanak-kanak negara.
Mantan Guru Besar Cemerlang Sekolah Kebangsaan Pasir Puteh, Keningau, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik@Charles berkata, dasar berkenaan amat tepat dan bersesuaian dengan cabaran pendidikan awal yang semakin kompleks, selain menuntut pendekatan lebih sistematik serta bersepadu.
Menurutnya, pendidikan awal merupakan asas penting dalam pembentukan sahsiah, kemahiran sosial, literasi dan numerasi kanak-kanak sebelum melangkah ke alam persekolahan formal.
“Langkah ini juga sejajar dengan Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 yang menekankan pengukuhan pendidikan awal sebagai tunjang pembangunan modal insan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut menyifatkan keputusan Kerajaan untuk tidak mewajibkan pelaksanaan sepenuhnya pada tahun pertama sebagai wajar dan realistik kerana mengambil kira tahap kesediaan murid, ibu bapa serta kemudahan sedia ada, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Yazid berkata, pendekatan berfasa itu membolehkan semua pihak membuat persediaan rapi tanpa menjejaskan akses pendidikan kepada kanak-kanak, terutama di kawasan yang berdepan kekangan prasarana.
Dalam pada itu, beliau menyokong langkah menyelaras keseluruhan sistem prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan penyelarasan kurikulum, latihan guru serta kemudahan prasarana dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan seimbang.
“Penyelarasan ini penting bagi menjamin kualiti pendidikan awal yang setara di seluruh negara, tanpa mengira lokasi dan latar belakang sosioekonomi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan beberapa persiapan perlu diberi perhatian serius, termasuk penambahan bilik dan pusat prasekolah, penempatan serta latihan guru prasekolah yang mencukupi, penyediaan kemudahan asas yang kondusif khususnya di kawasan luar bandar, serta pelaksanaan program kesedaran kepada ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan awal.
Yazid yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor menyatakan keyakinan bahawa dengan komitmen bersepadu Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi seperti diarahkan Perdana Menteri, perubahan dasar ini mampu dilaksanakan dengan berkesan.
“Usaha ini penting demi memastikan masa depan pendidikan negara lebih kukuh dan melahirkan generasi Malaysia yang berdaya saing,” katanya.-pr/BNN





