KOTA KINABALU: Borneo Rainforest Lodge (BRL) mengharumkan nama Malaysia apabila merangkul Anugerah Hotel Hijau ASEAN pada Forum Pelancongan ASEAN 2026 yang berlangsung di Cebu pada 30 Januari lalu.
BRL yang terletak di Danum Valley Conservation Area itu merupakan calon tunggal Malaysia bagi edisi ke-10 anugerah berprestij berkenaan selepas memenuhi piawaian ASEAN Tourism Standards 2026–2027.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Freddie Coleman, berkata pencalonan tersebut telah diperakukan oleh Ministry of Tourism, Arts and Culture (MOTAC) selepas melalui proses penilaian menyeluruh terhadap pematuhan standard pelancongan serantau.
Menurut beliau, anak syarikat Yayasan Sabah itu diwakili Ketua Pegawai Kewangan, Esner Chong, yang menerima anugerah berkenaan bagi pihak pengurusan lodge.
Freddie berkata pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan BRL dalam mempromosikan pelancongan lestari, pemuliharaan hutan hujan serta penglibatan komuniti setempat.
“Anugerah ini meletakkan BRL dalam kalangan hotel terpilih di rantau ASEAN yang diiktiraf atas kecemerlangan dalam pengurusan alam sekitar dan operasi mampan,” katanya.
Tambah beliau, pengiktirafan tersebut turut menyerlahkan usaha konsisten pemain industri pelancongan dalam meningkatkan standard perkhidmatan dan tanggungjawab alam sekitar, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap ASEAN sebagai destinasi pelancongan yang berdaya saing.-pr/BNN





