KOTA KINABALU: Tourism Malaysia meraikan musim perayaan Tahun Baru Cina menerusi siri aktiviti sambutan di lapangan terbang utama di seluruh negara.
Sempena kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026), inisiatif ini menonjolkan kekayaan warisan budaya berbilang kaum di Malaysia di samping memperkukuh reputasi negara sebagai destinasi pelancongan yang mesra, meriah dan inklusif.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, YB Datuk Jafry Ariffin telah menyempurnakan majlis sambutan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang mencerminkan komitmen kukuh Kerajaan Negeri Sabah terhadap kejayaan kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).
Beliau secara peribadi menyambut ketibaan para pelawat dengan menyampaikan buah limau mandarin sebagai simbol tradisi yang melambangkan tuah dan kesejahteraan, selain cenderamata rasmi Visit Malaysia 2026.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh wakil daripada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta pemegang taruh utama industri pelancongan Sabah, sekali gus menzahirkan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta dalam memperkasa pengalaman pelawat.
Pada masa yang sama, sambutan perayaan ini turut dilaksanakan di 13 pintu masuk dan lokasi strategik di seluruh negara, termasuk KLIA Terminal 1 dan Terminal 2, Subang, Pulau Langkawi, Perak, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.
Sambutan turut diserikan dengan upacara tradisional menggaul Yee Sang, simbol perpaduan, kemakmuran dan kesejahteraan bersama sempena Tahun Baharu Cina.
Para pelawat juga dihidangkan dengan persembahan pakaian tradisional Malaysia yang mencerminkan kepelbagaian budaya negara, diikuti persembahan tarian singa yang penuh bertenaga dan sinonim dengan suasana perayaan.
Menambahkan lagi suasana perayaan, maskot rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026, Wira dan Manja, tampil menceriakan pelawat serta menyediakan peluang bergambar interaktif, sekali gus memperkaya pengalaman ketibaan mereka dengan kenangan yang bermakna.
Sambutan Tahun Baharu Cina di Sabah ini direalisasikan melalui sokongan dan tajaan daripada kerajaan negeri serta rakan korporat, termasuk Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS), Sabah Tourism Board, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), SabahTravel.com, North Borneo Cruise, Borenos Fried Chicken, Adabi dan Spritzer.
Sumbangan yang merangkumi baucar, produk makanan dan minuman, cenderamata serta diskaun tarikan pelancongan bukan sahaja mempertingkatkan pengalaman ketibaan pelawat, malah menonjolkan kemesraan, keharmonian dan kepelbagaian budaya di samping memaparkan tawaran pelancongan Malaysia yang dinamik dan berdaya saing.
Aktiviti sambutan di lapangan terbang sempena Tahun Baharu Cina ini merupakan sebahagian daripada strategi menyeluruh Pelancongan Malaysia di bawah VM2026 untuk mempertingkatkan pengalaman sentuhan pertama pelawat, memperkukuh penjenamaan destinasi serta mempromosikan Malaysia sebagai destinasi yang mesra, selamat dan kaya dengan budaya sepanjang tahun.
Inisiatif di pintu masuk antarabangsa juga memainkan peranan penting dalam membentuk tanggapan awal yang positif serta menggalakkan minat perjalanan berterusan.
Melalui usaha berterusan ini, Tourism Malaysia terus memperkukuh profil pelancongan negara di peringkat global sambil meraikan identiti masyarakat majmuk Malaysia, sejajar dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 dalam usaha memacu pertumbuhan mampan jangka panjang sektor pelancongan negara.-pr/BNN





