KOTA KINABALU: Mantan Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, menyifatkan kenyataan bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, yang mahu menyaman kerajaan sekiranya siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak membawa kepada pertuduhan sebagai tidak wajar dan berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan.
Beliau berkata, semua pihak, khususnya tokoh politik berprofil tinggi, seharusnya memberi ruang kepada SPRM menjalankan siasatan secara profesional tanpa tekanan atau persepsi negatif.
“SPRM adalah badan bebas yang diberi mandat untuk menyiasat sebarang dakwaan salah laku. Mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan saman sebelum proses siasatan selesai boleh menimbulkan persepsi tidak sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jerry menegaskan bahawa sebarang dakwaan perlu ditangani melalui saluran undang-undang dan bukannya melalui tekanan politik atau kenyataan terbuka yang boleh mengelirukan rakyat.
Menurutnya, tindakan menyifatkan siasatan sebagai “intimidasi” juga dilihat tidak membantu usaha memperkukuh integriti institusi negara.
“Jika seseorang yakin tidak bersalah, beri kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan biarkan proses perundangan berjalan. Itu pendekatan paling matang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata prinsip kedaulatan undang-undang perlu dihormati oleh semua pihak tanpa mengira kedudukan politik.
Jerry turut mengingatkan bahawa membuat perbandingan dengan isu lain atau tuduhan lama tidak akan membantu meredakan keadaan, sebaliknya hanya mengheret polemik berpanjangan.
“Rakyat mahu melihat ketelusan dan profesionalisme. Semua pihak perlu bertenang dan mengelakkan kenyataan yang boleh menghakis kepercayaan terhadap agensi penguatkuasaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa semua pemimpin politik supaya memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negara dan kebajikan rakyat, berbanding terus mencetuskan polemik.
Katanya, sebarang pertikaian berkaitan siasatan harus diselesaikan melalui proses undang-undang yang sewajarnya.
“Biarlah SPRM menjalankan tugasnya secara bebas dan profesional. Pada akhirnya, kebenaran akan terserlah melalui proses perundangan,” katanya.-pr/BNN





