BINGKOR: Penduduk setempat sekali lagi melahirkan kebimbangan serius terhadap keadaan Jalan Tuntumulud–Bingkor yang didakwa kerap runtuh setiap kali hujan lebat, walaupun laluan itu telah beberapa kali dibaiki sebelum ini.

Berdasarkan pemerhatian masyarakat, struktur jalan di lokasi berkenaan akan mengalami kerosakan setiap kali hujan berterusan. Walaupun kerja pembaikan dilaksanakan, masalah sama didapati berulang apabila hujan seterusnya melanda.

Jurucakap masyarakat Bingkor merangkap Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata situasi berkenaan amat membimbangkan kerana jalan itu merupakan laluan utama kegunaan harian penduduk tanpa mengira siang atau malam.

“Setiap kali hujan, jalan ini runtuh. Selepas dibaiki, ia kembali rosak apabila hujan berikutnya. Ini menunjukkan masalah asas masih belum ditangani secara menyeluruh dan memerlukan perhatian serius pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan kelancaran trafik, malah berpotensi mengundang risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya termasuk pelajar, pekerja serta kenderaan kecemasan yang bergantung kepada laluan berkenaan setiap hari.

Sehubungan itu, pihak masyarakat memohon agar Jabatan Kerja Raya (JKR) memberi perhatian segera terhadap isu berkenaan dengan melaksanakan pemeriksaan teknikal menyeluruh, kerja penstabilan cerun, penambahbaikan sistem saliran serta penyelenggaraan berkala bagi memastikan ketahanan jalan dalam jangka panjang.

“Penduduk Bingkor berharap tindakan segera dan penyelesaian komprehensif dapat dilaksanakan memandangkan kejadian runtuhan terbaharu jelas menunjukkan masalah berulang yang memerlukan intervensi tuntas demi keselamatan serta kesejahteraan pengguna jalan raya”, tegasnya.-pr/BNN