Yahya rasmi majlis komuniti Nelayan

0
32
Yahya menyerahkan gimik Tukun Tiruan kepada Pengerusi JKKK Kg.Pasir Putih, Encik Sabdin sambil diperhatikan oleh Dr.Ahemad (dua dari kiri), Hassan (kiri) dan Arsit (empat dari kiri).-Pix LSK
Yahya menyerahkan gimik Tukun Tiruan kepada Pengerusi JKKK Kg.Pasir Putih, Encik Sabdin sambil diperhatikan oleh Dr.Ahemad (dua dari kiri), Hassan (kiri) dan Arsit (empat dari kiri).-Pix LSK

PUTATAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin telah merasmikan Majlis Mensejahterakan Komuniti Nelayan Daerah Putatan di Dewan Sri Putatan, hari ini.

 Sempena majlis itu, Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri turut menyerahkan gimik Turun Tiruan kepada Pengerusi JKKK Kampung Pasir Putih Putatan.

 Katanya, sebanyak 20 unit tukun tiruan akan dilabuhkan di kawasan perairan Putatan pada esok, manakala aktiviti melabuh tukun tiruan di 4 lagi daerah di Sabah telah diadakan kelmarin.

Yahya menyerahkan replica cek bayaran Bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan bernilai RM301,958.00 kepada Arsit sambil diperhatikan oleh Ahemad (dua dari kiri) dan Hassan (kiri) di majlis itu.-Pix LSK

 Beliau berkata, aktiviti melabuh tukun tiruan telah bermula di Kampung Shahbandar, Tuaran dan pada hari ini di Kampung Pantai Emas, Kota Belud.  Kampung Pasir Putih, Putatan juga mendapat tambahan tukun tiruan yang dijangka akan dilabuhkan esok dan seterusnya di kampung Sangkabok, Kuala Penyu dan Kampung Kuala Mengalong, Sipitang.

 “Pada bulan Oktober tahun ini sahaja, sebanyak lima kawasan lagi akan dilabuhkan tukun tiruan.  Sehingga tahun ini, sebanyak 1,029 unit tukun tiruan konkrit dilabuhkan diseluruh perairan Negeri Sabah yang melibatkan 120 kampung nelayan dengan nilai lebih daripada RM12 juta”, tegasnya.

 Mengenai Elaun Sara Hidup Nelayan, Yahya berkata, ianya telah diperkenalkan pada Jun 2008.  Skim bayaran bulanan sara hidup nelayan ini adalah salah satu usaha kerajaan untuk membantu meringankan beban golongan nelayan dalam menghadapi tekanan ekonomi disebabkan kenaikan harga bahan bakar secara global.  Ianya juga merupakan insentif kepada sektor industri perikanan supaya kekal berdaya maju.

 Katanya, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bertanggungjawab dalam mengagihkan Elaun Sara Hidup Nelayan sebanyak RM 300.00/orang/bulan kepada 17,374 orang nelayan di Negeri Sabah setiap tahun.

 “Diharapkan bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan mereka.  Kerajaan melalui LKIM telah membelanjakan sebanyak RM 62,546,400.00 bagi tujuan ini dalam masa setahun sahaja”, tegasnya.

 Yahya turut menyerahkan Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan (LKIM) kepada penerima yang layak di majlis itu.

 Turut hadir di majlis itu ialah Pengarah Perikanan Negeri, Dr.Ahemad Sade, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kota Kinabalu, Datuk Haji Arsit Sedi, Penolong Pegawai Daerah Putatan, Hassan Mahali dan ketua-ketua jabatan serta agensi dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sabah.-pr/BNN