KENINGAU: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah (Land Utilisation Committee – LUC) Daerah Keningau di Jabatan Tanah dan Ukur Keningau, bagi menyelaras perancangan serta pengurusan pembangunan tanah di daerah berkenaan pada Khamis.
Mereka ialah Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan (Tambunan), Dato’ Sr. Mohd Ishak Ayub (Bingkor), Dato’ Nik Mohd Nazri Nik Zawawi (Liawan), Jordan Jude Ellron (Tulid) dan Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup (Sook).
Mesyuarat itu dipengerusikan Ketua Penolong Pengarah Kanan (Pembangunan) Jabatan Tanah dan Ukur Negeri, Callixtus Osoi, serta turut dihadiri ketua jabatan dan wakil agensi kerajaan Persekutuan dan negeri.
Perbincangan memberi tumpuan kepada penyelarasan dasar serta cadangan pembangunan berkaitan penggunaan tanah bagi memastikan setiap perancangan pembangunan di daerah Keningau dilaksanakan secara teratur dan selari dengan keperluan pembangunan setempat.
Jawatankuasa LUC berfungsi sebagai platform penting bagi meneliti isu pentadbiran tanah, termasuk cadangan pembangunan dan perkara berkaitan yang memberi kesan langsung kepada masyarakat di kawasan Tambunan, Bingkor, Liawan, Tulid dan Sook.
Melalui kerjasama antara wakil rakyat dan agensi kerajaan, mesyuarat itu diharap dapat memperkukuh perancangan serta pengurusan pembangunan tanah di daerah Keningau secara lebih tersusun dan mampan.-pr/BNN





