LAHAD DATU: Borneo Rainforest Lodge (BRL) menyumbangkan 100 pek makanan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Lahad Datu 2 sempena bulan Ramadan sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan komuniti setempat.
Ketua Pegawai Operasinya, Sail Jamaludin berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat yang bermula sejak 2021.
Menurutnya, walaupun berdepan cabaran semasa pandemik, BRL tetap komited meneruskan program berkenaan kerana sokongan kepada komuniti adalah usaha berterusan dan bukan sekadar sekali sahaja.
Beliau yang melawat sekolah berkenaan bersama Pengarah Operasi, Hendry Filames berkata, SK Lahad Datu 2 dipilih sebagai wakil utama komuniti pelajar di daerah itu.
“Kami berharap sumbangan kecil ini dapat menyemai semangat memberi dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat, bukan sahaja sepanjang bulan Ramadan tetapi juga pada masa hadapan,” katanya.
Sail berkata, sebagai pengendali pelancongan dan anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah, penglibatan dengan komuniti setempat penting dalam memelihara identiti serta warisan budaya unik Sabah.
Dalam perkembangan berkaitan, kakitangan BRL turut mengadakan lawatan ke Sri Pritchard Home di Kinarut bagi menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas untuk kebajikan penghuni warga emas di pusat berkenaan.
Lawatan yang diketuai Ketua Pegawai Kewangan BRL, Esner Chong dan disertai kira-kira 20 peserta itu merupakan sebahagian daripada inisiatif CSR syarikat bagi membantu keperluan pusat jagaan tersebut serta menceriakan penghuninya.
Pihak pengurusan Sri Pritchard Home menzahirkan penghargaan atas sumbangan berkenaan yang membantu mengurangkan kos operasi serta memastikan penghuni terus menerima penjagaan dan keperluan harian yang mencukupi.





