KENINGAU: Dalam tempoh 48 jam, Presiden MP Project, Moddy Patrick, melaksanakan siri Ziarah Prihatin Rakyat merentasi empat kampung pedalaman di DUN Bingkor dan Liawan, bagi menyampaikan bantuan terus kepada enam penerima terdiri daripada warga uzur, pesakit serta mangsa kemalangan.

Program melibatkan Kampung Bayangan, Berungis, Kuangoh dan Gana itu memberi tumpuan kepada bantuan segera berbentuk kewangan, baju raya serta kerusi roda, selaras pendekatan turun padang tanpa perantara yang dilihat lebih dekat dengan keperluan rakyat.

Di Kampung Bayangan, bantuan kewangan disampaikan kepada Matirin dan Halip Tamin, manakala Habidin Mudi turut menerima sumbangan termasuk baju raya sebagai persiapan Aidilfitri. Ziarah itu turut disertai Ketua Pemuda STAR Bayangan, Arman.

Program diteruskan ke Kampung Berungis dengan penyerahan bantuan kepada Jaidy Book yang terlibat dalam kemalangan jalan raya, sebelum Moddy menyampaikan kerusi roda kepada Makitin Sangkai di Kampung Kuangoh bagi memudahkan pergerakan harian.

Di Kampung Gana, beliau turut menyalurkan bantuan kewangan kepada Mohd Syah Jubileh Abdullah yang sedang sakit, di samping memberi kata-kata semangat kepada keluarga.

Penduduk setempat menyifatkan kehadiran secara langsung itu sebagai signifikan kerana menunjukkan keprihatinan sebenar terhadap nasib masyarakat pedalaman, khususnya ketika berdepan kesulitan.

Ziarah berkenaan turut diiringi Pembantu Khasnya, Kennedy Kelly Jupirit Tiok.-pr/BNN