KOTA KINABALU : Bersempena dengan Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026), Tourism Malaysia meraikan kedatangan pelawat domestik dan antarabangsa melalui sambutan Hari Raya Aidilfitri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Acara sama juga turut di adakan di lapan (8) lapangan terbang utama seluruh negara termasuk di Selangor, Pulau Pinang, Johor, Kedah, Perak, dan Sarawak.
Majlis di Kota Kinabalu dirasmikan oleh Encik Chong Wai Kit, Pengarah MOTAC Sabah. Turut hadir sama Puan Haryanty Abu Bakar, Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Puan Jessica Francis, Sabah Tourism Board serta wakil-wakil daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, syarikat penerbangan dan agensi berkaitan.
Susulan sambutan Tahun Baru Cina pada Februari lalu, siri program perayaan ini terus menyerlahkan kekayaan budaya dan keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Para pelawat yang tiba disambut dengan cenderamata perayaan di Balai Ketibaan dan dijemput untuk menikmati juadah tradisional Hari Raya Aidilfitri, sebagai cerminan warisan budaya negara dan hospitaliti mesra Malaysia Truly Asia.
Suasana sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan Melayu bertemakan Aidilfitri, termasuk kemunculan maskot VM2026, Wira dan Manja.
Menambahkan lagi kemeriahan suasana ialah acara simbolik mengisi beras dan merebus ketupat, yang merupakan tradisi istimewa sempena Hari Raya.
Sambutan bermula dari jam 12.00 tengahari sehingga 4 petang telah menyambut sekitar 1500 penumpang antarabangsa dan domestik dari Singapura, Seoul, Kuala Lumpur, Kuching, Tawau dan Sandakan.
Program ini direalisasikan dengan kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk kementerian dan agensi di bawah MOTAC, syarikat penerbangan, persatuan industri pelancongan serta pihak korporat seperti Malaysia Airport Sdn. Bhd, Sabah Tourism Board, Batik Air, ADABI, Spritzer dan Photobook.
Kerjasama ini mencerminkan sokongan padu semua pihak terhadap promosi industri pelancongan negara dalam meningkatkan pengalaman pelawat sempena VM2026.
Penganjuran aktiviti perayaan di lapangan terbang merupakan salah satu strategi berterusan Tourism Malaysia di bawah Kempen VM2026 bagi memberikan pengalaman ketibaan yang bermakna, mengukuhkan penjenamaan destinasi serta mempromosikan Malaysia sebagai destinasi berbudaya, selamat dan mesra pelawat.
Inisiatif di pintu masuk antarabangsa ini juga membantu meninggalkan kesan positif kepada pelawat dan menggalakkan kunjungan berulang.
Dengan penganjuran sambutan perayaan ini, Tourism Malaysia terus memperkukuh profil pelancongan negara di peringkat global, sambil meraikan kepelbagaian budaya Malaysia selaras dengan objektif VM2026 serta menyokong pembangunan mampan sektor pelancongan.-pr/BNN





