KENINGAU: Dua pemain muda dari Bingkor menerima suntikan semangat menjelang Piala Belia Malaysia 2026 apabila menerima sumbangan kasut bola sepak daripada Presiden MP Project, Moddy Patrick.
Sumbangan itu disampaikan wakilnya, Kennedy Kelly Jupirit kepada Ejmcchristien Chrizeal dari Kampung Bunsit dan Shane Stanley dari Kampung Kuangoh yang bakal mewakili Sabah dalam kejohanan berkenaan.
Kennedy berkata, sumbangan berkenaan walaupun sederhana diharap mampu menjadi pemangkin motivasi kepada kedua-dua pemain untuk terus berusaha, berdisiplin dan mempamerkan prestasi terbaik.
“Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan bakat belia, khususnya dari luar bandar,” katanya.
Kedua-dua pemain itu dikenal pasti sebagai antara bakat berpotensi yang mampu menyerlah di peringkat negeri dan kebangsaan.
Sokongan berterusan komuniti dan pemimpin setempat diyakini mampu membuka lebih banyak ruang kepada bakat muda dari Bingkor untuk mengharumkan nama Sabah.-pr/BNN





