PITAS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Sri Ruddy Awah, menyambut baik keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan petisyen dikemukakan calon Warisan, Datuk Harun Ismail.

Harun mencabar kemenangan Ruddy di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas pada Pilihan Raya Negeri, 23 Disember tahun lalu.

Ruddy berkata, beliau bersyukur dengan keputusan itu dan menyifatkannya sebagai adil serta berlandaskan undang-undang.

“Semua pihak termasuk pempetisyen wajar menghormati keputusan berkenaan dan menerimanya dengan hati terbuka.

“Dengan menghormati keputusan mahkamah, ia bukan sahaja menghentikan tuduhan atau fitnah, malah membantu meredakan ketegangan dalam kalangan penyokong,” katanya ketika dihubungi, pada Sabtu.

Beliau menegaskan, keutamaan ketika ini adalah memperkukuh perpaduan serta kerjasama dalam kalangan warga Pitas bagi menyokong usaha beliau menambah baik kemudahan asas di daerah itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Wong Siong Tung, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Pilihan Raya, membuat keputusan itu secara dalam talian selepas membenarkan bantahan awal dikemukakan Ruddy bersama dua lagi responden.

Sementara itu, peguam mewakili Ruddy, Shahlan Jufri, berkata mahkamah turut memerintahkan pempetisyen membayar kos RM15,000 kepada Ruddy serta tambahan RM15,000 kepada responden kedua dan ketiga.

Harun, 66, memfailkan petisyen pada 23 Disember tahun lalu dengan menamakan Ruddy, 57, sebagai responden pertama; Pegawai Pengurus bagi kawasan Pitas sebagai responden kedua; dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ketiga.

Dalam petisyennya, beliau memohon pengisytiharan bahawa Ruddy tidak dipilih secara sah sebagai ADUN Pitas, selain menuntut keputusan pilihan raya pada 29 November 2025 dibatalkan serta perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada Januari lalu, semua responden memfailkan bantahan awal bagi membatalkan petisyen berkenaan atas alasan antaranya kegagalan mengemukakan butiran mencukupi berkaitan dakwaan rasuah serta kekurangan fakta berhubung dakwaan salah laku.

Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah lalu, Ruddy memperoleh 5,754 undi dalam pertandingan enam penjuru dengan majoriti 1,565 undi, manakala Harun meraih 4,189 undi.-pr/BNN