KOTA KINABALU: Landskap politik Malaysia terus memperlihatkan satu kitaran berulang apabila konflik dalaman parti-parti utama sering membawa kepada perpecahan, penubuhan parti baharu dan perubahan besar dalam keputusan pilihan raya negara.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak berkata sejarah politik negara menunjukkan bahawa krisis dalaman parti bukan sekadar isu organisasi, sebaliknya menjadi faktor utama yang membentuk semula keseimbangan kuasa politik di Malaysia.

Menurut beliau, krisis UMNO pada tahun 1987 menjadi titik penting apabila pertembungan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah menyebabkan UMNO diisytiharkan tidak sah pada tahun 1988.

“Susulan itu, UMNO Baharu ditubuhkan manakala Semangat 46 muncul sebagai parti baharu. Perpecahan undi Melayu ketika itu menyumbang kepada kekalahan Barisan Nasional di Kelantan pada pilihan raya 1990,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Salleh yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Belud untuk tiga penggal, berkata pola yang sama turut berlaku pada tahun 1998 apabila pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim mencetuskan gerakan Reformasi dan membawa kepada penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Dalam pilihan raya 1999, Barisan Nasional kehilangan sokongan besar pengundi Melayu. Ini menunjukkan bagaimana konflik dalaman boleh memberi kesan langsung kepada keputusan pilihan raya,” katanya.

Beliau turut mengimbas keadaan PKR pada peringkat awal penubuhannya antara tahun 2001 hingga 2004 apabila konflik dalaman dan persaingan fraksi melemahkan parti sehingga hanya mampu memenangi satu kerusi Parlimen dalam pilihan raya 2004.

Menurut Salleh, krisis UMNO pada tahun 2015 sekali lagi mengulangi pola yang sama apabila penyingkiran Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa kepada penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Perpecahan ini akhirnya menyumbang kepada kekalahan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 2018,” katanya.

Beliau berkata selepas tahun 2018, PKR sekali lagi berdepan konflik dalaman apabila persaingan antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Anwar memuncak dalam peristiwa Sheraton Move yang menyebabkan lebih 10 Ahli Parlimen PKR keluar parti dan membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Tambah beliau, persaingan dalaman PKR terus berlanjutan selepas pemilihan parti tahun 2025 apabila Datuk Seri Rafizi Ramli, selepas kalah jawatan Timbalan Presiden, meletakkan jawatan dalam Kabinet sebelum keluar daripada PKR bersama Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Pada Mei 2026, kedua-duanya mengambil alih kepimpinan Parti Bersama Malaysia, sekali gus menandakan satu lagi penjajaran politik akibat konflik dalaman parti,” katanya.

Di Sabah, Salleh berkata corak yang sama turut berlaku apabila kelemahan UMNO selepas 2018 membuka ruang kepada kemunculan Parti Warisan Sabah yang terbentuk hasil penjajaran semula melibatkan bekas rangkaian UMNO.

“Selepas perubahan politik 2020 pula, Gabungan Rakyat Sabah muncul dengan sokongan daripada struktur politik yang turut berkait rapat dengan UMNO,” kata Salleh, Bendahari UMNO Sabah.

Menurut beliau, secara keseluruhannya terdapat satu pola yang konsisten dalam politik negara iaitu konflik dalaman membawa kepada perpecahan, perpecahan melahirkan parti baharu, dan perubahan itu akhirnya mempengaruhi sokongan pengundi.

Beliau berkata dalam sistem pilihan raya First-Past-The-Post, perubahan kecil dalam pola undi mampu menentukan kemenangan, khususnya di kerusi marginal.

“Keadaan ini menjadikan kestabilan dalaman parti sebagai faktor yang amat penting,” katanya.

Salleh turut menegaskan bahawa dalam suasana politik semasa, pengundi atas pagar semakin memainkan peranan besar kerana mereka tidak lagi terikat kepada parti tertentu, sebaliknya menilai aspek kestabilan, kepimpinan dan prestasi pentadbiran.

“Sejarah jelas menunjukkan bahawa konflik dalaman bukan sekadar isu parti, tetapi faktor utama yang mendorong perubahan politik, ketidaktentuan pilihan raya dan pembentukan semula landskap kuasa di Malaysia,” katanya.-pr/BNN