KOTA KINABALU: Mantan Presiden Kehormat Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said hari ini membuat laporan polis di IPD Kota Kinabalu berhubung penganjuran Demonstrasi Gempur Rasuah Sabah 3.0 yang dijadualkan berlangsung di ibu negeri pada 4 dan 5 Julai depan.
Beliau berkata, laporan itu dibuat atas kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya gangguan kepada ketenteraman awam, keselamatan masyarakat serta risiko tercetusnya kekecohan susulan kempen mobilisasi yang sedang giat dijalankan oleh pihak penganjur menerusi pelbagai platform media sosial.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang disiarkan kepada umum, demonstrasi berkenaan dianjurkan oleh satu koalisi yang terdiri daripada Suara Mahasiswa UMS dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Sabah melalui Sekretariat Gempur Rasuah Sabah 3.0.
Katanya, penganjur bukan sahaja mengumumkan perhimpunan selama dua hari di Kota Kinabalu, malah turut melancarkan siri jelajah ke seluruh Sabah bagi menggerakkan penyertaan orang ramai menjelang demonstrasi tersebut.
“Saya membuat laporan polis ini kerana bimbang program yang dirancang dan hebahan yang dilakukan secara meluas boleh mencetuskan gangguan kepada ketenteraman awam serta mengundang situasi yang tidak diingini.
“Sebagai rakyat yang cintakan keamanan dan kestabilan negeri, saya berpandangan bahawa sebarang tuntutan atau pandangan perlu disalurkan melalui saluran yang sah serta mengikut lunas undang-undang,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis, hari ini.
Jerry berkata, pihaknya turut mengambil perhatian terhadap penyebaran pelbagai rakaman video, poster promosi, sidang media dan kenyataan berkaitan demonstrasi itu yang dimuat naik melalui pelbagai platform termasuk Facebook, TikTok, YouTube dan aplikasi media sosial lain.
Menurut beliau, kandungan berkaitan demonstrasi itu juga telah disebarkan secara meluas menerusi pelbagai saluran media dan media sosial termasuk Suara Mahasiswa UMS, KiniTV, Malaysiakini, TawauKini serta beberapa platform lain yang mempunyai capaian luas kepada masyarakat.
Katanya, seruan terbuka yang menyasarkan mahasiswa, golongan belia dan Generasi Z untuk turun menyertai demonstrasi jalanan di Kota Kinabalu wajar diberikan perhatian serius oleh pihak berkuasa.
“Saya khuatir seruan berterusan seperti ini boleh mempengaruhi golongan muda untuk menyertai perhimpunan jalanan tanpa mengambil kira implikasi keselamatan, ketenteraman awam dan perundangan yang mungkin timbul.
“Jika tidak dikawal dengan baik, keadaan ini berpotensi menyebabkan gangguan lalu lintas, menjejaskan aktiviti ekonomi dan sosial masyarakat serta mencetuskan provokasi antara pihak yang mempunyai pandangan berbeza,” katanya.
Beliau berkata, laporan polis yang dibuat turut menyentuh mengenai beberapa hantaran media sosial yang mengandungi ungkapan dan kenyataan berbaur provokasi yang boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, Jerry meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pihak yang terbabit dalam penganjuran demonstrasi berkenaan termasuk penggerak, penyelaras, penaja, penyumbang dana dan mana-mana individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.
Beliau turut meminta pihak berkuasa meneliti sumber pembiayaan program tersebut termasuk penjualan baju-T rasmi yang dilaporkan digunakan bagi membiayai logistik, siri jelajah dan usaha mobilisasi peserta demonstrasi.
“Saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Apa yang penting, kita mahu memastikan keamanan, keharmonian dan kestabilan negeri Sabah terus terpelihara serta mengelakkan sebarang kejadian yang boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya.-pr/BNN





